Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Bintang Cilik Gendang Melayu Sarawak Curi Tumpuan di Rindok Berami

By 1 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan & Foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)

KUCHING, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Program Seni Warisan Rindok Berami yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching pada Sabtu disemarakkan dengan pelbagai persembahan budaya. Namun, kemunculan seorang bakat cilik telah mencuri perhatian ramai.

Dua generasi, satu irama – Atikah Ramli dan anaknya Ariqah Irdina abadikan momen penuh kasih dan seni sini, kelmarin.

Noor Ariqah Irdina Iruwan Jawawi, 5,  berasal dari Daerah Daro, mengejutkan penonton apabila mempersembahkan pukulan gendang Melayu Sarawak dengan penuh kelincahan dan ketepatan irama — satu pencapaian luar biasa bagi usia semuda itu.

Meskipun masih di usia yang sangat muda, kelincahan dan ketepatan irama yang dipersembahkan Ariqah memukau para hadirin, termasuk penggiat seni dan para pelawat yang hadir.

Menariknya, minat Ariqah terhadap seni gendang bukanlah secara kebetulan. Ibunya, Puan Atikah Ramli, 36, merupakan seorang penggiat seni gendang Melayu Sarawak yang aktif menyertai pelbagai program kebudayaan di peringkat negeri dan kebangsaan. Beliau memainkan peranan penting dalam mencungkil serta memupuk bakat anaknya sejak kecil.

“Anak saya mula meniru gaya pukulan gendang yang sering saya lakukan ketika membuat persembahan bermukun di majlis-majlis keramaian. Dari situlah minatnya terhadap seni warisan itu bercambah secara semula jadi,” ujar Puan Atikah ketika ditemu bual selepas persembahan.

Ariqah menceriakan persembahan bermukun dengan irama gendangnya yang memukau di program Seni Warisan RIndok Berami.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dan bangga apabila Ariqah dijemput khas membuat persembahan dalam program berskala besar seperti Rindok Berami.

“Sebagai ibu dan penggiat seni, saya amat tersentuh. Ia bukan sahaja satu pengiktirafan kepada Ariqah, malah menjadi dorongan untuk terus mencintai dan melestarikan seni warisan ini,” tambahnya.

Ariqah merupakan antara pelapis muda yang dijemput khas bagi memeriahkan program tersebut, sekali gus menyampaikan mesej bahawa warisan budaya wajar dipupuk sejak usia muda. Penampilannya membangkitkan rasa bangga serta harapan terhadap kesinambungan seni tradisional dalam kalangan generasi akan datang.

Program anjuran RTM Kuching itu turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh artis tanah air terkemuka seperti Jamal Abdillah dan Bob Yusof. Turut dipersembahkan pelbagai acara kebudayaan yang memikat, termasuk tarian tradisional, nyanyian lagu etnik, serta peragaan busana tradisional Sarawak oleh kakitangan RTM sendiri.

Rindok Berami bukan sahaja menjadi platform untuk mengangkat seni warisan, malah berperanan sebagai medium penting dalam mencungkil dan memperkenalkan bakat-bakat muda seperti Ariqah kepada khalayak yang lebih luas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda