
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)/Yayasan Sultanah Bahiyah
PENDANG, 19 Mei (MalaysiaAktif) – 2nd Pendang Dragon Boat Regatta (PDBR) 2025 atau Pertandingan Perahu Naga Pendang 2025 yang diadakan sejak 17 Mei 2025 di Pendang Lake Resort telah melabuhkan tirainya petang semalam dengan menyaksikan pasukan Pacific West Dragon Boat Club (PWDBC) mendominasi perlawanan dengan merangkul kejuaraan bagi tiga daripada lima kategori yang dipertandingkan.

Peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang memenangi tempat kedua bagi kategori Premier Open
Menjuarai tiga kategori dengan penuh bergaya, pasukan dari Pulau Pinang itu telah membawa pulang sebuah piala, pingat emas beserta wang tunai bernilai RM1,500 bagi setiap kategori yang dimenangi iaitu Premier Open, Premier Mixed serta Premier Master dengan catatan masa masing-masing 1:08.911 saat, 1:13.531 saat dan 1:10.600 saat sekaligus menewaskan pihak lawan.
Aksi sengit dan mendebarkan dengan catatan masa 1:15.355 saat telah berjaya menobatkan pasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) Malaysia sebagai juara bagi kategori Kedah Closed Agency mengatasi pasukan dari Syarikat Air Darul Aman (SADA DBT) di tempat kedua manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Aksi sengit dan penuh mendebarkan dalam perlawanan akhir yang diadakan petang semalam
Tidak pulang dengan tangan kosong, pasukan BOMBA Pilipinas dari Filipina yang menghantar dua pasukan bagi berentap dalam kategori Dragon Boat Tug of War telah membawa pulang kemenangan di tempat pertama dan ketiga kategori tersebut dengan menjadikan pesaing rapat mereka iaitu pasukan dari Persatuan Perahu Naga Negeri Sabah (PPNNS) terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.
Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Remaja, Datuk Dr Kamaruzaman Ali ketika ditemui, berkata para peserta menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun perlawanan akhir bagi dua kategori utama telah berlangsung dalam keadaan cuaca hujan.
“Penganjuran program pada kali ini lebih baik daripada dua tahun lalu dan berharap agar kerjasama serta komitmen daripada semua pihak yang menjayakan program pada kali ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Bagi pihak YSB, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program PDBR bagi tahun 2025 serta sekalung tahniah diucapkan kepada semua para pemenang,” ujarnya.
Majlis perasmian penutup bagi program PDBR 2025 berlangsung petang semalam telah disempurnakan oleh Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
-AA-