
Laporan/Foto: Aishah Latip / Daniel Shuaib (Sarawak)
LUNDU, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan penubuhan 30 buah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh advokasi perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Nancy Shukri menyampaikan ucapan perasmian Program Kasih Kanak-kanak Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif ini merupakan program julung kali yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada gerakan nasional yang menyeluruh dan inklusif.
“Ia bertujuan memastikan setiap kanak-kanak menerima perlindungan yang sewajarnya demi masa depan yang lebih cerah,” ujar beliau semasa menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Dewan Mahligai Gading, Lundu, hari ini.
Nancy turut memaklumkan bahawa susulan kejayaan program pada tahun lalu, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan program advokasi tersebut kepada 300 buah sekolah tambahan tahun ini. Usaha ini bertujuan memperkasa kanak-kanak dalam memahami hak mereka serta kaedah melindungi diri daripada penderaan dan pengabaian.

Nancy Shukri menyerahkan pelekat Talian Kasih 15999 kepada wakil komuniti di Lundu.
“Saya amat prihatin terhadap isu keselamatan kanak-kanak, khususnya berkaitan kes penderaan dan pengabaian yang semakin meningkat serta mendapat perhatian meluas di media sosial,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa masyarakat agar menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan tidak berdiam diri, sebaliknya tampil membuat aduan bagi menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa.
Program advokasi ini turut mempromosikan penggunaan Talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp di 019-2615999 sebagai saluran untuk melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak secara cepat dan selamat.
-RJ-