Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Perahu Berhias Lambang Perpaduan Etnik di Pitas

By 5 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurhamisa Binti Rapi (Pitas)

PITAS, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Kawasan tepi laut Pitas menjadi tumpuan dengan suasana meriah penuh warna-warni ketika berlangsungnya Pertandingan Perahu Berhias sempena Pesta Kaamatan dan Pesta Pitas 2025.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN) Daerah Pitas itu berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai suku kaum, dengan perahu yang dihias indah menggambarkan kekayaan budaya serta warisan masyarakat tempatan.

Lima perahu berhias tampil dengan hiasan budaya tempatan dalam pertandingan tersebut.

Ketua Daerah merangkap Pengerusi Penganjur, OKK Halim Kadir, melahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran pertandingan kali ini yang jauh lebih baik berbanding edisi-edisi sebelumnya.

“Saya berpuas hati dengan pengurusan pertandingan tahun ini yang jauh lebih baik. Tambahan pula, hadiah wang tunai juga telah ditambah, memberikan lebih dorongan kepada para peserta.

“Kami berharap pertandingan ini dapat dijadikan acara tahunan dalam sambutan Pesta Kaamatan dan Pesta Pitas, selain menarik penyertaan lebih ramai komuniti pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Dataran Pitas, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Pengerusi Adat Tidung Zon Pitas, Rosdi Lajiwa, menyatakan rasa bangga atas pencapaian pasukannya yang meraih tempat kedua dalam pertandingan kali ini. Ini merupakan penyertaan pertama mereka, dan beliau berharap penyertaan akan diteruskan pada masa hadapan.

Orang ramai hadir memeriahkan Pertandingan Perahu Berhias menunjukkan sokongan dan semangat perpaduan masyarakat setempat.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, apatah lagi ini merupakan penyertaan sulung kami. Kami berharap dapat terus menyertai pertandingan akan datang. Saya juga berharap agar kewujudan bangsa Tidung terus dihargai dan dilihat sebagai sebahagian daripada masyarakat Pitas.

“Pertandingan perahu berhias ini bukan sahaja menyerikan sambutan Kaamatan dan Pesta Pitas, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan jalinan hubungan antara pelbagai etnik di daerah ini,” ujarnya.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan dari Suku Kaum Bajau Samah muncul johan, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala. Tempat kedua dimenangi oleh Pertubuhan Gabungan Adat Bangsa Tidung Negeri Sabah Zon Pitas yang menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan piala.

-RJ-

Tinggalkan komen anda