
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 21 Mei (MalaysiaAktif ) – Program podcast (audio siar) ‘Masuk Sekejap’ anjuran Unit Pendidikan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Iskandar Puteri berjaya mencuri tumpuan apabila enam orang anak-anak prasekolah diberi peluang berinteraksi terus dengan pemimpin tempatan.
Program ini mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.

Audio siar ‘Masuk Sekejap’ KEMAS Iskandar Puteri bertujuan untuk memupuk keberanian dan keyakinan diri anak-anak kecil dalam berinteraksi serta memahami peranan pemimpin sejak awal usia.
Pandak, berkata program seperti ini merupakan platform terbaik untuk memupuk keberanian dan keyakinan diri anak-anak kecil dalam berinteraksi serta memahami peranan pemimpin sejak awal usia.
“Saya melihat ini sebagai pendedahan awal yang sangat positif kepada anak-anak ini bukan sahaja belajar bercakap dengan yakin, tetapi juga sudah didedahkan kepada fungsi wakil rakyat dan kepimpinan.
“Mereka bertanya tentang pengalaman saya sebagai ADUN, malah menunjukkan minat yang tinggi dan ini merupakan satu permulaan yang baik untuk membina generasi Johor yang berketerampilan,” katanya ketika ditemui di EduCity Hub, di sini semalam.
ADUN Kota Iskandar itu turut mencadangkan agar program seumpama ini diperluaskan ke kawasan lain supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat, sekali gus membentuk asas sahsiah yang kukuh selain pencapaian akademik.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Parlimen Iskandar Puteri Siti Fariza Ghazali, berkata objektif utama program podcast ini adalah untuk membina keberanian dan memperluas pendedahan sosial anak-anak didik KEMAS.

Program audio siar ‘Masuk Sekejap’ KEMAS Iskandar Puteri akan diperluas dengan penglibatan ibu bapa dalam sesi perkongsian akan datang.
“Tujuan utama kami adalah untuk melatih mereka berani berdepan dengan masyarakat, termasuk tokoh-tokoh kepimpinan dan masyarakat dapat melihat KEMAS bukan sekadar institusi pendidikan awal, tetapi juga tempat yang membina karakter.
“Insya-Allah selepas ini kita rancang untuk libatkan ibu bapa dalam sesi perkongsian pula,” katanya.
Siti Fariza turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat ADUN Kota Iskandar atas sokongan yang berterusan kepada inisiatif KEMAS Iskandar Puteri.
Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Zon Kota Iskandar Yusuf Ahmad.
-ZS-