Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kembara Ilmu dan Doa: Rakyat Sabah Teguh Bersama Palestin

By 33 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)

NABAWAN, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Program Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin di Masjid Al-Hidayah, Nabawan mendapat sambutan lebih 300 penduduk, termasuk daripada Pensiangan dan Pagalungan.

As-Syeikh Abdush Shabour memimpin bacaan doa khusus untuk kesejahteraan rakyat Palestin.

Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Nabawan, Mohd Ikhwan Nizam Abd Rasyid berkata, program tersebut mencerminkan kesatuan umat dalam memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.

“Alhamdulillah, sambutan lebih 300 penduduk menunjukkan bahawa masyarakat luar bandar turut cakna terhadap penderitaan saudara Islam di Palestin. Ini jelas memperlihatkan nilai solidariti dan kesedaran kemanusiaan dalam Islam,” ujar beliau.

“Selain itu juga, ianya memperlihatkan betapa pentingnya solidariti dan keadilan dalam Islam dan menerapkan kesedaran tentang nilai kemanusiaan sejagat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Masjid Al-Hidayah, di sini pada Rabu.

Tambah beliau, program seperti ini bukan sahaja membawa mesej sokongan terhadap Palestin sekali gus memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam dan pentingnya keamanan dengan bermunajat demi kesejahteraan rakyat serta bumi Palestin.

“Melalui program seperti ini dapat memberi penekanan kepada kedamaian yang mana umat Islam wajar memperjuangkan agama dan negara serta memperlihatkan betapa pentingnya kedamaian serta menolak penuh keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia.”

“Inisiatif ini menjadi medium memperkukuh keimanan serta menanam kesedaran bahawa sabar dan doa adalah senjata utama mukmin,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Albar Pagalungan, Hadi Abdullah menyifatkan, program keagamaan seperti ini sangat penting dalam merapatkan hubungan dan memupuk perpaduan masyarakat di luar bandar.

“Majlis ilmu seperti ini amat berguna kepada masyarakat di daerah Nabawan khususnya dan kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan penganjuran aktiviti seperti ini pada masa hadapan.

Mohd Ikhwan  (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada penceramah jemputan, kelmarin.

“Selain itu juga program keagamaan seperti ini dapat merapatkan lagi tali persaudaraan dan hubungan sesama Islam dalam kalangan penduduk di mana semuanya berkumpul serta mengimarahkan masjid tanda solidariti dan mengukuhkan lagi perpaduan,” katanya.

Untuk makluman, Program Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah untuk Palestin yang bermula pada 11 Mei lalu melibatkan 25 buah masjid di 11 daerah terpilih di Sabah. Ia turut menampilkan ceramah khas oleh tokoh ulama Nusantara dari Syria, As-Sayyid As-Syeikh Abdush Shabour Al-Kayyaali Ar-Rafa’ie Al-Husaini.

Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama JHEAINS, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan Pertubuhan Pembangunan Pendidikan Islam Sabah (PISA).

-RJ-

Tinggalkan komen anda