
Laporan/foto: Nadia Abdullah/Nurulain Sham (Kluang)
KLUANG, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Kesungguhan komuniti wanita FELDA Kahang Barat menyerlah apabila mereka hadir beramai-ramai ke Program JIWA @ Komuniti MADANI (Kemasyarakatan) yang berlangsung di Masjid Al-Falah, di sini semalam.

Jemaah wanita FELDA Kahang Barat berkumpul sempena bacaan Yasin dan tahlil.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kluang itu menampilkan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil serta perkongsian maklumat semasa dalam suasana harmoni dan sederhana.
Ketua Komuniti MADANI FELDA Kahang Barat Siti Azlina Jamion, berkata inisiatif sebegini sangat bertepatan dalam usaha memperkukuhkan institusi masjid sebagai pusat perpaduan komuniti.
“Program sebegini amat dialu-alukan kerana ia bukan sahaja dapat menyatukan penduduk, malah turut merapatkan hubungan antara pihak kerajaan dan masyarakat setempat.
“Inilah platform paling hampir dengan rakyat untuk kita berkongsi ilmu serta membina persefahaman yang lebih baik,” katanya.
Program dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh guru-guru al-Quran sekitar FELDA Kahang Barat, disusuli dengan doa dan selawat.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan oleh kakitangan Pejabat Penerangan Dearah Kluang.
Turut diadakan ialah perkongsian naratif semasa oleh wakil Pejabat Penerangan Daerah Kluang yang menyentuh isu-isu semasa dan peranan komuniti dalam menyokong agenda pembangunan negara.
Majlis diakhiri dengan sesi jamuan yang turut menjadi ruang santai kepada penduduk untuk berinteraksi dan mengeratkan silaturahim sesama mereka.
Turut hadir Pembantu Pembangunan Masyarakat (SDA) FELDA Kahang Barat, Nor Fadillah Abdullah dan ahli-ahli komuniti setempat dari pelbagai peringkat umur.
Program ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan peranan masyarakat melalui penglibatan aktif dalam program kemasyarakatan.
-ZS-