
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 25 Mei (MalaysiaAktif) β Sambutan Hari Ibu merupakan detik istimewa yang mengiktiraf jasa, pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu, insan yang tidak pernah mengharapkan balasan.
Sentuhan kasih seorang ibu membentuk peribadi anak, menjadi cahaya dalam keluarga serta asas kepada masyarakat yang harmoni.

Gan Peck Cheng menyampaikan ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita, Hari Ibu dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) Peringkat DUN Penggaram Tahun 2025 di SJKC Ai Chun 1 & 2 Batu Pahat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram Gan Peck Cheng, berkata wanita masa kini bukan sekadar pelengkap kepada naratif kemajuan, malah merupakan arkitek sosial, pembina tamadun dan nadi kepada kemakmuran negara.
βWanita bukan hanya mampu bersaing, malah menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara menerusi pelbagai sektor strategik,β katanya ketika berucap di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun 1 & 2, di sini semalam.
Beliau turut menekankan peningkatan jumlah wanita yang memegang jawatan utama seperti ketua jabatan, pegawai daerah, ahli majlis dan pengarah syarikat, menunjukkan keupayaan wanita dalam memimpin dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Demonstrasi makanan sihat antara pengisian program sempena Sambutan Hari Wanita, Hari Ibu dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) Peringkat DUN Penggaram.
Sementara itu, Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Siti Manisah Sidek, berkata YPKDT yang merupakan agensi kerajaan berbentuk badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri Johor, berperanan memperkukuh institusi keluarga, membawa wanita ke arus pembangunan serta menangani isu sosial dalam masyarakat.
βYPKDT melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi berdasarkan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor (PTPWNJ) 2021-2030, merangkumi sektor kesihatan, keselamatan, sukan, kebudayaan, ekonomi, keusahawanan dan pelbagai lagi,β ujarnya.
Siti Manisah turut menambah bahawa YPKDT memainkan peranan aktif menyantuni golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, wanita berpendapatan rendah serta kumpulan B40 melalui pelaksanaan pelbagai kursus kemahiran dan program pemberdayaan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berjaya.
-ZS-