
Laporan/foto: Marina Idris (Petaling)
SHAH ALAM, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Selain cakna berkenaan isu semasa negara, pemimpin perlu menguasai pengucapan awam dan teknologi maklumat dalam usaha memastikan penyebaran maklumat kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara interaktif.

Peserta bersama penceramah.
Menurut peserta Bengkel Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seksyen 19, di sini kelmarin, Hisham Parman, 65, penyertaannya buat kali kedua merupakan sesuatu yang berharga kerana pengetahuan yang diperolehi dalam bengkel ini akan membantu Ketua Komuniti MADANI untuk menyampaikan maklumat kerajaan dengan lebih berkesan dan dipercayai.
“Antara cabaran bagi golongan senior sepertinya adalah menggunakan aplikasi CapCut untuk suntingan video dan TikTok, namun latihan dan bimbingan yang diberikan memberi sedikit keberanian untuk mencuba,” jelasnya.

Hisham Parman (kanan) sewaktu sesi amali pengucapan awam.
Ahli Komuniti MADANI Sungai Renggam S. Harulselbam, 66, menyifatkan bengkel ini mempunyai tarikan tersendiri terutama teknik ‘SMART’ dalam modul pengucapan awam yang telah diajarkan sangat menarik dan mudah diingati.
“Saya tidak biasa memberikan ucapan, namun setelah mempelajari teknik pengucapan awam ini saya dan rakan-rakan terasa ingin mencuba kerana sudah tahu cara yang betul,” katanya.
Bengkel Mini ASAS yang merupakan program perintis bagi daerah Petaling mendapat sambutan lebih 30 peserta dalam kalangan ahli Komuniti MADANI.
-ZS-