
Laporan / Foto: Genda Sating (Sarawak)
KUCHING, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Kampung Budaya Sarawak pada hujung minggu ini, selepas pengurusan perkampungan berkenaan mengumumkan kemasukan percuma selama dua hari bermula 25 hingga 26 Mei 2025.

Nur Asliah berpeluang mengenakan pakaian tradisional Orang Ulu, salah satu etnik di Sarawak.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Nur Asliah Ahmad Ghazali, 55, berkata beliau berada di Sarawak sejak Khamis lalu sempena percutian pertemuan semula bersama enam orang rakannya, juga dari Kuala Lumpur.
Menurut Nur Asliah, Kampung Budaya Sarawak sememangnya antara lokasi yang dirancang untuk dikunjungi semasa percutian tersebut.
“Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, kami berenam terus mengambil peluang mengunjungi Kampung Budaya Sarawak semalam apabila mendapat tahu pelbagai acara kebudayaan akan diadakan pada hujung minggu ini.
“Ini satu pengalaman yang amat menyeronokkan kerana kami juga berpeluang mengenakan salah satu pakaian tradisional etnik Sarawak serta menyertai tarian kebudayaan di salah sebuah rumah tradisional di situ.

Nur Asliah dan rakan-rakan turut menyertai tarian tradisional masyarakat Bidayuh.
“Sekurang-kurangnya kami dapat merasai pengalaman memakai busana tradisional etnik Sarawak yang unik, apatah lagi reka bentuk dan warnanya sangat menarik,” tambah beliau.
Sementara itu, Ellison Bundan Lang, 58, dari Tapah, Serian berkata, beliau membawa isterinya berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak pada hujung minggu ini setelah mengetahui tentang kemasukan percuma menerusi hebahan media massa.
“Terdapat banyak perubahan sejak lawatan saya yang terakhir, terutamanya dari segi binaan contoh rumah panjang. Kali terakhir saya ke sini adalah kira-kira lapan tahun lalu, dan ini merupakan kunjungan saya yang ketiga,” katanya.
Bagi Christina Bijay, 60, salah seorang kakitangan yang bertugas di Rumah Bidayuh, beliau berkata kuih tradisional ‘Tiboduk’ yang disediakan mendapat sambutan menggalakkan sejak awal pagi semalam.

Christina menyediakan lebih banyak kuih Tiboduk ketika acara besar di Kampung Budaya Sarawak.
“Jika ada acara besar seperti ini, saya akan menyediakan lebih banyak kuih Tiboduk bagi menampung permintaan yang tinggi, memandangkan jumlah pengunjung yang semakin ramai pada hujung minggu ini.
“Sambil menyelam minum air, pengunjung bukan sahaja dapat melihat contoh rumah tradisional pelbagai kaum di Sarawak, malah mereka juga dapat menyaksikan secara langsung penyediaan makanan tradisional oleh para petugas,” ujarnya.
Kemasukan percuma selama dua hari ini merupakan tanda penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan berterusan mereka terhadap Kampung Budaya Sarawak, yang telah beroperasi selama 27 tahun.
-RJ-