
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Maherah Marina Mahusin (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Semangat kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat semakin terserlah menerusi Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi @ Komuniti MADANI, yang berlangsung meriah di pekarangan Wellness Hub, Seberang Takir, di sini kelmarin.
Program anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Komuniti MADANI Telaga Daing dan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini menyatukan pelbagai elemen penting termasuk pendidikan kesihatan, aktiviti sukan komuniti, pameran akademik serta program penjagaan alam sekitar.

Dr. Mohd Anuar Abd Rahman (dua dari kiri) berharap program seperti ini dapat membantu agensi-agensi awam menyantuni masyarakat secara langsung.
Timbalan Pengarah JKNT Dr. Mohd Anuar Abd Rahman, ketika merasmikan program, berkata kerjasama seperti ini sangat penting dalam menyampaikan mesej kesihatan secara lebih dekat dan berkesan kepada rakyat.
“Program ini bukan sahaja menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, malah memperkukuh hubungan strategik antara jabatan dan komuniti,” ujarnya.
Ketua Komuniti MADANI Telaga Daing Wan Khairani Wan Husin, menyifatkan kehadiran agensi kerajaan secara langsung ke lapangan sebagai pendekatan yang amat dihargai.
“Kami rasa lebih yakin untuk berurusan dan mendapatkan nasihat kesihatan apabila pakar sendiri turun padang,” katanya.
Bagi pelajar UMT Nurin Zahirah Mahmud, 21, penglibatan dalam program ini membuka ruang pembelajaran secara langsung dalam bidang kesihatan awam.

Antara aktiviti menarik termasuk pameran ubat berhemah.
“Saya belajar tentang pendidikan kesihatan, saringan asas dan kutipan data komuniti.
“Ia benar-benar membuka minda dan memberi kesan mendalam terhadap pembelajaran saya,” katanya.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran ubat berhemah, pameran akademik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) UMT, pertandingan bola jaring, pertandingan bola sepak jalanan, kempen kebersihan ‘1 Hour Malaysia Clean Up’ dan aktiviti penanaman pokok ‘My Green Hands’.
-ZS-