
Laporan/foto: Sumardi Sugiman / Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI anjuran Komuniti MADANI Kampung Peros telah berjaya menyatukan penduduk kampung melalui aktiviti gotong-royong yang bukan sahaja memperindah persekitaran, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat tanpa mengira latar belakang, umur dan jantina.

Sata menyampaikan ucapan sempena Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan di Dewan Kampung Peros, di sini, semalam.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Peros, Sata Najoi, 60, berkata program yang berlangsung di Dewan Kampung Peros, semalam itu memberi impak besar kepada masyarakat.
“Saya bersyukur kerana program ini bukan sahaja berlangsung dengan meriah, malah memberi kesan positif dalam menyatukan penduduk kampung melalui gotong-royong membina persekitaran yang bersih, sihat, selamat dan indah,” ujarnya.

Program JIWA@Komuniti MADANI berjaya menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan penduduk.
Beliau turut menekankan bahawa semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda, semakin terserlah hasil penglibatan aktif semua pihak – ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga dan rakan-rakan.
Program ini turut mendapat sokongan Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Bau, yang diwakili oleh Pegawai Penerangan Daerah, Sumardi Sugiman, bersama kakitangan jabatan tersebut dalam usaha menyebarluaskan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa kepada komuniti.
-RJ-