Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pertandingan Durian Tersedap Tarikan Utama ke Program Jelajah Penerangan Daerah Pendang

By 1 hari yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Sempena Tahun Melawat Kedah 2025, Kerajaan Negeri Kedah akan menganjurkan Program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera di beberapa daerah seluruh negeri termasuk daerah Pendang bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat setempat mengenai pelbagai inisiatif serta program yang telah dan sedang dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada rakyat negeri Kedah.

Mesyuarat Penyelarasan Program yang diadakan bersama agensi-agensi yang terlibat.

Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera yang akan diadakan dalam beberapa siri ini akan bermula dengan Siri Pertama pada 14 dan 15 Jun ini di Masjid Sultanah Haminah, Kariah Tanjung Radin, di sini dengan menampilkan pelbagai pengisian menarik untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Larian ceria akan menjadi acara pembukaan di mana para peserta akan melalui laluan kampung bagi merasai keindahan pemandangan desa di sekitar lokasi program seterusnya disusuli dengan pertandingan mewarna yang akan melibatkan para pelajar prasekolah dari sekolah-sekolah berhampiran.

Menurut penganjur dan penyelaras program Darulaman Media and Events, Nurul Fatihah Sabri, pertandingan kekorasi kek akan membuka tirai bagi acara pada sebelah petang diikuti dengan pelbagai acara lain termasuk pertandingan makan kuaci, food blind taste test, basikal lambat serta pertandingan azan dan khutbah bagi kategori pelajar sekolah.

“Majlis akan diteruskan pada sebelah malam dengan pengisian kerohanian melalui Forum Perdana bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat yang akan menampilkan barisan panel terkenal seperti Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Hanif Ghazali dengan Ustaz Suhaimi Saad bertindak selaku moderator,” ujarnya.

Kemuncak acara yang dijangka menjadi tarikan utama sempena musim durian iaitu pertandingan durian tersedap yang akan berlangsung pada sebelah petang pada hari kedua program bakal menampilkan penyertaan daripada para pengusaba durian tempatan dari seluruh daerah Pendang.

Persiapan tempat untuk program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera bermula sejak beberapa hari yang lalu.

Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera Siri Pertama ini akan melabuhkan tirainya dengan acara Malam Berselawat yang bakal menampilkan persembahan qasidah oleh kumpulan Qasidah Adik Beradik, persembahan nasyid oleh kumpulan NADA serta sesi Tausiah yang akan disampaikan oleh wakil dari Jabatan Mufti Negeri Kedah.

Nurul Fatihah semalam turut menyeru orang ramai khususnya penduduk daerah Pendang hadir memberi sokongan dan memeriahkan program yang sarat dengan pengisian bermanfaat ini.

“Pameran agensi kerajaan dan swasta, pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat mengenai kesihatan serta kaunter derma darah bergerak juga akan berada di sini pada kedua-dua hari program nanti,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda