
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh keselamatan komuniti dan memartabatkan peranan pendidikan sebagai asas kemajuan masyarakat terus digiatkan sehingga ke kawasan luar bandar.
Menerusi Program Community Based Security Management (CBSM) Kawasan Merotai 2025, program berkenaan membawa amanat untuk menjadikan pendidikan sebagai pemangkin utama kepada mobiliti sosial dan kemajuan komuniti.

Ruji ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program tersebut.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi menegaskan, keselamatan komuniti dan perpaduan merupakan dua asas penting yang perlu dijaga secara kolektif agar rakyat Malaysia terus menikmati kehidupan yang harmoni dan makmur.
“Saya pesan kepada para ibu bapa untuk berikan tumpuan kepada pendidikan anak-anak, kerana hanya pendidikan yang mampu mengubah status sosial masyarakat kita. Hanya melalui pendidikan, kita dapat melihat perubahan dalam taraf hidup dan masa depan masyarakat.
“Keselamatan dan perpaduan inilah yang menjadi asas kepada segala nikmat yang kita kecapi hari ini sebagai rakyat Malaysia yang harmoni,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan SMK Merotai Besar di sini pada Sabtu.
Pemilihan sekolah berkenaan sebagai lokasi pelaksanaan Program CBSM turut disifatkan sebagai tepat dengan sokongan padu daripada pihak sekolah serta kerjasama erat komuniti setempat.

Sekitar suasana program Community Based Security Management (CBSM) Kawasan Merotai, semalam.
“Saya sendiri pernah bersekolah di kawasan ini dan faham benar suasana di Merotai, yang mana program seperti ini tepat pada masanya untuk mendekati pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan semester akhir mereka.
“Kita akan perluaskan program seumpama ini ke kawasan lain menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Keselamatan Negeri, sebagai langkah berterusan memperkasakan jaringan kerjasama antara komuniti, institusi pendidikan dan agensi keselamatan,” jelasnya.
Untuk makluman, Program CBSM ini berjaya dilaksanakan dengan penglibatan lebih 200 pelajar Tingkatan 5 dan 6 serta ibu bapa sebagai usaha membentuk generasi muda yang cakna, bertanggungjawab dan bersatu padu seiring matlamat negara yang inklusif dan harmoni.
-RJ-