
Laporan/foto:Florinah Lunsin/Manjin Arak (Kudat)
KUDAT, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dan memperkukuh kerjasama antara agensi terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Komuniti Jelajah Saringan Kanser (SaKan) Negeri Sabah bermula 13 hingga 19 Jun 2025.
Program SaKan ini bukan sahaja membantu mengesan awal penyakit kanser, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat luar bandar secara inklusif dan menyeluruh.

Suasana reruai pemeriksaan kesihatan yang disediakan dalam Program SaKan.
Pengurus Program SaKan, Dr. Helmi Hamid berkata, program selama seminggu ini julung kalinya diadakan di daerah Kudat dan perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan penduduk boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Melalui program ini, pelbagai jenis pemeriksaan disediakan secara percuma kepada penduduk termasuk pemeriksaan payudara, saringan Pap Smear, pemeriksaan kesihatan umum, saringan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40), pemeriksaan gigi serta aktiviti kecergasan untuk warga emas,” katanya semasa Program Komuniti Jelajah Saringan Kanser (SaKan) Negeri Sabah di Dataran Tomborungus, di sini pada Isnin.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di reruai pemeriksaan Program SaKan.
Pegawai Farmasi Hospital Kudat, Muhammad Asyraf Amir, turut serta dalam program ini menerusi inisiatif “Kenali Ubat Anda” memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penggunaan ubat-ubatan secara selamat dan berkesan.
“Orang ramai dinasihatkan agar menyemak status pendaftaran ubat atau produk kesihatan terlebih dahulu melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat pembelian dan ini penting bagi mengelakkan pembelian produk yang tidak berdaftar dan berisiko.

Warga emas menjalani saringan kecergasan yang turut disediakan sepanjang program.
“Sasaran awal kami iaitu seramai 50 pengunjung, telah berjaya dicapai sepanjang program berlangsung. Oleh itu, kami berharap agar program seperti ini diteruskan dengan penglibatan lebih meluas pada masa akan datang,” ujarnya.
Untuk makluman, program ini dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kudat, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Lembaga Bandaran Kudat serta beberapa agensi lain.
-RJ-