Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Program Kelantan Membaca Semarak Literasi dan Perpaduan Komuniti di Melawi

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah 

BACHOK, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Pantai Melawi hari ini menjadi saksi kemeriahan Program Kelantan Membaca Volume 1 yang berjaya mengumpulkan masyarakat setempat dalam usaha memupuk budaya membaca dan mengukuhkan semangat kekeluargaan.

Program yang berlangsung di Beach Boy Street ini dianjurkan oleh Proton JM Otomobil (Inovatif) Sdn. Bhd. dengan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Pejabat Belia dan Sukan, Perbadanan Perpustakaan Negeri Kelantan, Majlis Belia Daerah Kota Bharu, Madrasah Al-Insaniah dan beberapa agensi lain.

Gimik ‘Kelantan Membaca’ bersama Jasri.

Bermula seawal pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang, program ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Jasri Kasim yang dalam ucapannya menekankan peranan pendidikan sebagai senjata untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Antara peranan utama Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan adalah untuk membasmi kemiskinan. Pendidikan adalah kunci keluar daripada kemiskinan melalui penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh statistik yang membimbangkan, apabila pada tahun 2023 seramai 175,304 kanak-kanak di hujung usia sekolah rendah tidak mahir membaca, manakala 1.01 juta rakyat Malaysia masih belum menguasai kemahiran literasi asas.

Situasi ini, katanya, memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Sesi bacaan senyap.

Program ini diharap dapat menjadi salah satu langkah awal dalam membendung isu literasi di negeri ini, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara sektor swasta, kerajaan dan komuniti setempat. Inisiatif seperti ini juga diyakini mampu membina budaya membaca dalam kalangan masyarakat sejak usia muda.

Pelbagai aktiviti menarik berjaya dianjurkan sepanjang program termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, acara menarik pukat, sukaneka seperti bola tampar dan liga penalti serta pertandingan memasak dengan kerjasama ADABI. Aktiviti ini bukan sahaja menyemarakkan suasana, malah menggalakkan penglibatan aktif penduduk tempatan.

Lebih istimewa, pengunjung turut berpeluang menikmati pemeriksaan kesihatan percuma, mencuba pandu uji kenderaan serta menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Proton E-MAS 7, yang menjadi tarikan utama program.

Program seperti ini membuktikan bahawa literasi boleh dipupuk dalam suasana santai dan mesra keluarga, sambil menyemai nilai-nilai perpaduan dan kecintaan terhadap ilmu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda