
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) akan memperkenalkan aplikasi sistem janji temu dan panggilan digital yang dikenali sebagai Smart Queue System (SQS) atau Sistem Penggiliran Pintar bagi pesakit luar di Poliklinik Pakar mulai Julai ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sistem baharu ini yang menelan kos RM1 juta untuk dibangunkan menerusi peruntukan Belanjawan Johor 2024, merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang akan memberi manfaat kepada lebih 57,000 pesakit yang mendapatkan rawatan setiap bulan di hospital ini.

Onn Hafiz mendengar penerangan mengenai Smart Queue System (SQS) atau Sistem Penggiliran Pintar yang dibangunkan dengan kos RM1 juta menerusi peruntukan Belanjawan Johor 2024.
“Ini merupakan satu sistem baharu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan kita berharap kesemua klinik-klinik pakar di HSAJB akan menggunakan sistem QR yang lebih efisen untuk pesakit-pesakit.
“Apabila sudah berjaya, sistem ini akan dilaksanakan di Hospital Sultan Ismail (HSI), serta hospital-hospital di seluruh negeri Johor dan akan memberikan manfaat yang maksimum kepada rakyat di luar sana,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di HSAJB, di sini hari ini.
Pengarah HSAJB Dr Mohamad Nizam Subahir, berkata dengan adanya SQS nanti, ia dapat memudahkan proses pengambilan nombor panggilan klinik serta pendaftaran pesakit, mengelakkan kesesakan di kaunter pendaftaran selain mampu mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Pelaksanaan SQS akan diguna pakai secara berfasa di kesemua 31 buah klinik pakar yang terdapat di HSAJB.
“Pihak hospital juga telah memperkenalkan waktu janji temu secara berperingkat (staggered timing) bagi memastikan pesakit tidak perlu menunggu lama.
“Sehubungan itu, pesakit hanya perlu hadir di Poliklinik Pakar seawal 30 minit sebelum waktu yang telah diberikan bagi tujuan proses pendaftaran,” katanya.
Menurut Dr Mohamad Nizam, pelaksanaan SQS ini akan diguna pakai secara berfasa di kesemua 31 buah klinik pakar yang terdapat di HSAJB.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesiahatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.
-ZS-