
Laporan/foto: Aini Aziz/Aisyah
HULU TERENGGANU, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Fenomena ‘awan karpet’ di puncak Bukit Jelutong, Kampung Kepah, kini bukan sekadar lokasi mendaki, malah bertukar wajah menjadi destinasi pelancongan berkonsepkan glamping (perkhemahan mewah) hasil inisiatif komuniti setempat menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Majlis perasmian Glamping Campsite De Bukit Jelutong disempurnakan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu.
“Program SejaTi MADANI adalah komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan komuniti melalui sokongan kewangan dan bimbingan.
“Projek di Kampung Kepah ini membuktikan bahawa komuniti luar bandar mampu membina tarikan pelancongan yang berkualiti dan mampan,” ujar Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Datuk Haji Abdul Kahar Abdul Latif semasa merasmikan ‘Glamping Campsite De Bukit Jelutong’ dalam satu majlis penuh simbolik, di sini kelmarin.
Menurutnya, permohonan yang dikemukakan oleh komuniti melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepah telah diluluskan di bawah sektor Pelancongan dan Hospitaliti dengan geran maksimum RM100,000.
“Program ini memberi fokus kepada penambahbaikan kemudahan rekreasi di puncak bukit seperti penyediaan tapak khemah penginapan, kemudahan asas pendaki serta peluang keusahawanan kepada penduduk setempat.

Abdul Kahar menanam anak pokok sebagai simbolik perasmian Glamping Campsite De Bukit Jelutong.
“Dengan keunikan pemandangan ‘awan karpet’ dan landskap semula jadi Bukit Jelutong, saya percaya destinasi ini mampu menjadi tumpuan baharu pelancong dalam dan luar negeri, khususnya pencinta alam dan aktiviti luar,” jelasnya.
Bukit Jelutong, yang berketinggian 200 meter dari paras laut, semakin dikenali kerana keindahan panorama waktu pagi yang dilitupi lapisan awan nipis, menjadikan pengalaman mendaki lebih istimewa dan memukau.
Tambahnya, kerjasama strategik antara komuniti kampung, agensi pelancongan dan pihak kerajaan telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini.
“Inisiatif seperti ini memberi impak berganda bukan hanya menjana pendapatan komuniti, malah memperkukuh semangat jati diri dan gotong-royong dalam membangunkan potensi tempatan,” katanya.
Projek ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Terengganu (MOTAC) dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) yang menyambut baik pendekatan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) sebagai salah satu pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Turut hadir Pengerusi Komuniti KEMAS Negeri Terengganu Datuk Haji Rozi Mamat.
-ZS-