
Laporan/foto: Hafizah Rahim/ Muhammad Arief (Marang)
MARANG, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Fatin Nurzahirah Zulkifli, 18, meluahkan rasa teruja apabila dipilih sebagai ikon K-Dat Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai (STunT) dalam satu Taklimat Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Pejabat Penerangan Daerah Marang, di sini kelmarin.

Fadzilah ketika menyampaikan taklimat Kempen Internet Selamat (KIS).
“Saya berasa teruja apabila dipilih sebagai ikon K-Dat dalam program bersama SKMM dan Pejabat Penerangan pada hari ini.
“Sebagai ikon, saya akan cuba sebaiknya untuk mempraktikkan penggunaan internet secara selamat dan berhati-hati dengan maklumat yang diterima,” katanya.
Taklimat disampaikan oleh Timbalan Pengarah SKMM Fadzliah Mazlina Muhammad di Bilik Mesyuarat As-Syafie, dihadiri kira-kira 70 orang pelajar Tingkatan Enam Semester 1 dan Semester 2 bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan Internet dalam kalangan belia terutamanya pelajar sekolah.

Para pelajar tekun mendengar taklimat yang disampaikan.
Dalam pada itu, Pembantu Penerangan Daerah Marang Muhammad Arief Hasbollah Amin turut menyampaikan taklimat ‘Kepentingan Belia Memahami Dasar Kerajaan’.
Turut hadir Pengarah Bahagian SKMM Ahmad Baihaqi Zinbahar, Pengetua STunT Arina Abd Rahman dan Pegawai Penerangan Daerah Marang Adawiyah Othman.
-ZS-