Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Mini ASAS Penerangan Perkasa Komunikasi Komuniti MADANI Daerah Pendang

By 5 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)

PENDANG, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI berfungsi sebagai agen penyampai maklumat benar dan tepat di samping menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan masyarakat melalui komunikasi yang berkesan, menyalurkan suara rakyat kepada pihak berwajib serta menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan dengan jelas agar mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Para peserta berbincang dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Bagi membina komunikasi yang matang dan bertanggungjawab dalam kalangan jawatankuasa Komuniti MADANI sejajar dengan kemajuan teknologi digital masa kini, Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Pendang dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah telah menganjurkan bengkel Mini Akademi Asas (ASAS) Penerangan bertujuan memperkasakan kemahiran komunikasi dalam kalangan jawatankuasa Komuniti MADANI melalui penggunaan teknologi digital secara berkesan dan beretika.

Program yang diadakan di Bilik Mesyuarat PPD Pendang, kelmarin menyasarkan ahli jawatankuasa Komuniti MADANI yang berperanan menyokong dasar serta program kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang jelas, tepat dan berkesan kepada masyarakat selain daripada membentuk naratif positif bagi memperkukuh kefahaman dan sokongan terhadap inisiatif kerajaan.

Dalam pelaksanaan bengkel Mini ASAS Penerangan yang dijalankan pada pukul 2.00 petang itu, para peserta didedahkan dengan latihan asas penghasilan kandungan digital termasuk teknik rakaman video menggunakan peranti mudah alih, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) serta kaedah berkomunikasi secara berkesan bertujuan untuk meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Salah seorang peserta yang hadir ke bengkel berkenaan Wan Ubaidillah Wan Ismail, 36, berkata beliau teruja mengikuti bengkel ini kerana selama ini beliau hanya tahu menggunakan media sosial seperti TikTok tetapi tidak tahu kaedah menghasilkan video yang menarik.

“Saya akan menggunakan sebaik mungkin ilmu yang diperolehi hari ini dan akan cuba menghasilkan video-video menarik terutama untuk membantu menyebarkan maklumat-maklumat penting kepada orang ramai,” ujarnya.

Petugas memberi tunjuk ajar kepada para peserta program.

Pegawai Penerangan Daerah Pendang selaku penganjur program Syamimi Aaizag Ibrahim memaklumkan bahawa bengkel ini diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran peserta dalam menghasilkan bahan komunikasi visual yang menarik, tepat dan berkesan untuk tujuan penyampaian maklumat kepada komuniti.

“Pada masa kini, kebanyakan individu sama ada orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak menjadikan media sosial sebagai sumber utama untuk mendapatkan maklumat dan segala informasi kini boleh diakses hanya melalui sentuhan jari, di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Justeru itu, Komuniti MADANI perlu memanfaatkan platform media sosial sebagai medan penyebaran maklumat agar mesej-mesej penting, dasar kerajaan serta inisiatif yang dilaksanakan dapat disampaikan dengan lebih meluas dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda