
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Dungun)
DUNGUN, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Kira-kira 30 peserta daripada Jawatankuasa Komuniti MADANI Daerah Dungun telah menyertai Program Latihan Pengeditan Video Telefon Pintar anjuran Pejabat Penerangan Daerah Dungun, kelmarin.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Minda Mohd Asmadi Khalid, berkata minatnya terhadap program seumpama ini kerana kemahiran menyunting video kini menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat pada semua peringkat umur, sama ada untuk kegunaan peribadi mahupun bagi tujuan perkongsian di media sosial.

Sesi soal jawab bersama peserta berkaitan dengan kaedah mengedit video yang baik.
“Kini semua orang menggunakan media sosial. Jadi, dengan ilmu yang dipelajari ini, kami boleh menghasilkan video sendiri, sama ada untuk menyebarkan dasar-dasar kerajaan atau membuat hebahan tentang program-program komuniti di kampung,” katanya di lokasi program, Bilik Mesyuarat Pejabat Penerangan Daerah Dungun.
Sementara itu, seorang lagi peserta Khaizuran Ab.llah Zawawi, 44, melahirkan rasa teruja kerana dapat memanfaatkan sepenuhnya aplikasi di telefon pintar melalui program ini.
“Saya sangat seronok dapat menghasilkan video sendiri hanya menggunakan telefon pintar dan tenaga pengajar juga sangat sabar mengajar langkah demi langkah.
“Saya rasa program ini amat berbaloi dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Peserta program yang bersemangat menyiapkan tugasan yang diberikan kepada mereka.
Menurut Penolong Pengarah Cawangan Media Siber Nooraini Che Aziz, tujuan utama latihan ini adalah untuk memberikan pendedahan asas kepada peserta mengenai teknik penyuntingan video menggunakan aplikasi mudah alih CapCut di telefon pintar.
“Peserta turut diberikan tugasan khas seperti merakam video sendiri mengikut skrip yang disediakan serta menyunting rakaman tersebut menggunakan aplikasi CapCut sehingga video siap untuk dimuat naik ke media sosial masing-masing,” jelasnya
Program separuh hari ini disempurnakan oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Saharuddin Mohamed.
Dalam ucapannya, Saharuddin menekankan kepentingan ahli Komuniti MADANI memanfaatkan kemahiran yang dikuasai bagi menghasilkan kandungan video yang tepat dan berfakta sebagai usaha menangkis penyebaran berita palsu di media sosial.
-ZS-