
Laporan/foto: Mohammad Amirul Dait/Maslizam Sedek (Kuala Penyu)
KUALA PENYU, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Simulasi Pilihan Raya yang dianjurkan Jabatan Penerangan di peringkat sekolah disifatkan sebagai medium yang berkesan bagi menyemai semangat patriotik serta pendedahan mengenai sistem demokrasi dalam kalangan pelajar.

Abu Bakar ketika menyempurnakan majlis perasmian Program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku SMK Kuala Penyu.
Penolong Kanan, Pentadbiran SMK Kuala Penyu, Abu Bakar Sani berkata, pelajar hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan dan adalah wajar golongan ini diberi kesedaran awal mengenai tanggungjawab sebagai pengundi.
Jelasnya, sistem demokrasi yang menjadi tunjang kepada perlembangan juga merupakan asas kepada pembentukan negara yang stabil dan adil yang melibatkan penyertaan rakyat secara inklusif.
“Mengundi bukan sekadar hak, tetapi juga satu amanah dalam memilih pemimpin yang layak memimpin negara. Program JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku ini dilihat sebagai platform penting dalam membentuk jati diri, semangat cintakan negara serta kefahaman pelajar terhadap sistem demokrasi Malaysia,” katanya ketika merasmikan program Program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku di SMK Kuala Penyu di sini pada Rabu.

Antara pelajar yang terlibat dalam simulasi proses pengundian semasa program berlangsung.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini dilihat sebagai platform penting dalam membentuk jati diri, semangat cintakan negara serta kefahaman pelajar terhadap sistem demokrasi Malaysia.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam, Anderson Alfrey, 19, menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman bermakna yang membuka ruang kepada pelajar untuk memahami sistem demokrasi secara lebih mendalam.

Ebur ketika menyampaikan Taklimat Tatacara Pengundian mewakili SPR.
“Kami sangat suka program ini kerana ia memberi peluang kepada kami untuk memahami dan memberi pendedahan akan sistem demokrasi negara secara praktikal. Selain itu, ia membuka mata kami tentang betapa pentingnya peranan rakyat dalam proses pemilihan pemimpin di negara kita,” katanya.
Antara pengisian utama program termasuk Taklimat ChatBot AIFA yang disampaikan oleh wakil Jabatan Penerangan Daerah Kuala Penyu, Mohammad Amirul Dait selain Taklimat Tatacara Pengundian di Malaysia yang disampaikan oleh Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi, SPR, Ebur Sabtar.
-RJ-