Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Komuniti MADANI Silungai Meriahkan Program JIWA dengan Semangat Perpaduan

By 27 seconds yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)

NABAWAN, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Penduduk di pedalaman diseru agar terus aktif dalam program anjuran kerajaan yang jelas memberi manfaat terhadap pembangunan dan peningkatan tarah hidup serta percambahan ilmu pengetahuan komunti.

Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan, Hasinin Kinsim berkata, penyertaan dalam program yang menjurus ke arah penyampaian maklumat dan dasar kerajaan penting bagi memastikan masyarakat luar bandar celik maklumat dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Usaha agensi kerajaan menyampaikan maklumat secara terus sangat penting untuk membentuk masyarakat pedalaman yang peka kepada isu semasa, berani bersuara dan mampu mengambil peluang daripada dasar-dasar kerajaan.

Hasinin ketika menyampaikan ucapan perasmian Program JIWA @ Komuniti MADANI Sambutan Perayaan di Balai Budaya Kampung Silungai, Pagalungan, Nabawan.

“Melalui program sebegini komuniti setempat dapat menyuarakan pendapat dan bertanyakan soalan tentang sesuatu isu atau dasar yang mereka kurang fahami seterusnya mendapat penerangan yang jelas daripada agensi yang terlibat,” katanya ketika merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Kampung Silungai, di sini pada Rabu.

Hasinin turut menekankan bahawa program seperti ini juga berperanan sebagai platform perpaduan serta pemupukan nilai murni dalam kalangan masyarakat setempat.

“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim melalui aktiviti gotong-royong dan penyediaan juadah bersama, malah turut menyemai semangat toleransi serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat luar bandar menerusi penglibatan dalam acara sukan yang dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kronik,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Madani Kampung Silungai, Seri Lumorong berpendapat kewujudan Komuniti MADANI tidak harus terhad sebagai penerima dasar semata-mata, malah wajar diperluas untuk menggalakkan penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi sosial.

“Ahli komuniti dan penduduk setempat diharapkan dapat mengambil peluang dengan pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan dalam membangunkan ekonomi setempat. Program atau latihan keusahawanan juga adalah peluang kepada penduduk luar bandar untuk mempelajari ilmu baharu sekaligus dapat memperkenalkan produk tempatan ke pasaran luar yang lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu, mewakili agensi yang bekerjasama, Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Nabawan, Aineh Hambar yakin, program ini menjadi medan terbaik untuk agensi kerajaan menjelaskan fungsi dan inisiatif terkini setiap agensi secara terus kepada rakyat.

Bing Bakampil salah seorang penduduk kampung, mengajukan soalan kepada pegawai DVS berkenaan teknik penternakan ayam kacukan penelur.

“Ternakan ayam kacukan penelur dengan baka ayam kampung adalah contoh penggunaan teknologi moden dan amalan penternakan mampan. Kami juga menerangkan aspek pengurusan ternakan, pemakanan, pembiakan serta langkah kesihatan yang perlu diketahui oleh penternak baru,” ujarnya.

Program JIWA @ Komuniti MADANI bersempena Sambutan Perayaan ini telah dihadiri oleh lebih 80 orang masyarakat setempat serta ahli Komuniti Madani Kampung Silungai.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan memalu gong, acara sukaneka, ceramah daripada agensi-agensi kerajaan serta sesi sembang santai.

-RJ-

Tinggalkan komen anda