Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tarif Elektrik: Maklumat Perlu Sampai Elakkan Persepsi Negatif

By 24 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Shahrizan Ismail (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Pengumuman oleh Suruhanjaya Tenaga berkenaan perubahan tarif elektrik baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 sehingga 31 Disember 2027 menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.

Perubahan tarif elektrik ini bukan suatu perkara baharu kerana desas-desus berkaitan semakan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik itu telah lama diperkatakan sejak 2022.

Golongan belia tidak ketinggalan hadir mendengar taklimat ringkas yang disampaikan

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Teluk Intan Ahmad Wazir Swarno, berkata maklumat dan penerangan berkenaan penstrukturan semula kadar tarif elektrik baharu harus disampaikan kepada rakyat pelbagai lapisan untuk mengelakkan persepsi negatif dan salah faham.

“Melalui taklimat yang diberikan, kita faham dan tidak perlu risau kerana majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan perubahan tarif tersebut.

“Selain itu, antara usaha untuk mengelakkan bil bulanan melambung tinggi, kita mesti amalkan penggunaan elektrik yang cekap dan berhemah,” ujarnya ketika ditemui pada Program JIWA@Komuniti MADANI Daerah Hilir Perak yang berlangsung di Kampung Cerah, di sini malam tadi.

Bagi Azarina Khairuddin, 37, dia berpuas hati dengan penjelasan tentang perubahan tarif elektrik yang diberikan.

“Mula-mula, saya risau juga dengan kenaikan bil tetapi penerangan yang diberikan sedikit banyak membantu saya lebih jelas bahawa pengguna domestik yang menggunakan kadar elektrik bulanan sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah tidak akan terjejas,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak yang juga merupakan Setiausaha Komuniti MADANI Bandar Baru Muhammad Puhaz Saleh berkata program penerangan melibatkan komuniti setempat seperti JIWA ini merupakan satu inisiatif yang baik dalam membantu masyarakat untuk faham berkenaan dasar terkini yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Saya harap semua yang hadir mendapat maklumat jelas berkaitan naratif yang dibawa seperti penstrukturan semula tarif elektrik, scammer dan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda