
Laporan/foto: Nurulaini/Aidil (Kulai)
KULAI, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Program kemasyarakatan anjuran Komuniti MADANI Bukit Permai berlangsung meriah di Perkarangan Dewan Felda Bukit Permai dengan penglibatan aktif penduduk setempat yang hadir memeriahkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung semalam.
Program yang bertunjangkan aspirasi Malaysia MADANI ini bertujuan memupuk nilai-nilai murni serta mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat luar bandar, di samping menyemai semangat patriotisme dan kebersamaan.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan.
Pelbagai pengisian bermanfaat telah dilaksanakan, antaranya pertandingan memanah yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan belia. Aktiviti tersebut bukan sahaja menyerlahkan bakat peserta, malah memperkenalkan semula sukan tradisional kepada komuniti luar bandar yang semakin mendapat perhatian.
Ketua Komuniti MADANI Bukit Permai Samshudin Wahab melahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.
“Kejayaan program ini membuktikan bahawa semangat gotong-royong dan perpaduan masih kuat dalam kalangan masyarakat kita. Ia memberi harapan besar untuk kita terus bergerak seiring dalam membentuk komuniti yang lebih berdaya saing dan progresif.
“Kita mahu setiap program bukan sekadar acara, tetapi menjadi ruang pendidikan sosial untuk rakyat faham peranan mereka dalam pembinaan negara dan MADANI bukan slogan semata, tetapi budaya yang mesti dihidupkan,” katanya.

Pertandingan memanah.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kulai Norasilah Ibrahim yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk, malah menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat serta dasar-dasar kerajaan secara terus kepada rakyat,” ujar beliau.
Acara cabutan bertuah menambahkan keceriaan serta sambutan hangat daripada komuniti setempat.
Program ini sekali gus membuktikan komitmen Komuniti MADANI Bukit Permai dalam menyemarakkan semangat perpaduan serta memperkukuh jaringan sosial dalam kalangan rakyat.
-ZS-