
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Muhammad Syafiq Sapian
JELEBU, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Agro Festival (Agrofest) Negeri Sembilan 2025 telah bermula pada 20 Jun lalu dengan daerah Jelebu menjadi lokasi pertama pelancaran.
Diadakan secara bergilir-gilir di daerah-daerah lain seluruh negeri sehingga Oktober nanti, Kuala Pilah bakal menjadi lokasi penutup bagi siri Agrofest Negeri Sembilan pada tahun ini.

Jalaluddin bersama penerima insentif.
“Agrofest Jelebu 2025 pada tahun ini telah bertemakan buah durian raja segala buah memandangkan daerah Jelebu antara penyumbang tertinggi pengeluaran hasil durian Negeri Sembilan dengan keluaran yang premium dan rasa yang tiada tandingan di tempat lain disebabkan topografi Jelebu yang mempunyai tanah yang subur dan iklim yang panas dan kering berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan.
“Daerah Jelebu telah menerima peruntukan pertanian sebanyak RM2.44 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, melibatkan pembangunan kawasan seluas 367 hektar dan memberi manfaat secara langsung kepada seramai 133 orang penerima. Angka ini mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan pertanian negeri dalan tempoh tersebut,” kata Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Jalaluddin yang juga EXCO Kanan Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, berkata demikian ketika melancarkan logo Agrofest Jelebu. di sini semalam.
Mostakim Mohamad, 61, dari Kampung Sungai Buloh, di sini, berkata program tersebut memberi manfaat kepada pesawah.

Mostakim menerima insentif pembangunan padi.
“Kami rasa bersyukur sangat apabila meneri peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Insentif Pembangunan Padi bagi perataan tanah seluas 194 hektar dan input.
“Peruntukan ini akan memberi manfaat kepada 107 orang pesawah di mana ia mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi pada tahun 2026,” katanya.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sempena program ini antaranya demonstrasi teknik pembiakan vegetatif durian, slot diagnostik dan kawalan penyakit durian dan ceramah pematuhan protokol fitosanitasi dan prosedur eksport durian.
Turut hadir ADUN Sungai Lui Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali dan Ketua Polis Daerah Jelebu Superintenden Azizan Said.
-ZS-