Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Perpustakaan Pinggir Bandar, Nadi Ilmu Setempat

By 2 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Yuslina Ibrahim

PASIR MAS, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Terletak di pinggir bandar Pasir Mas, tersergam sebuah gedung ilmu yang masih setia berbakti kepada masyarakat, Perpustakaan Awam Pasir Mas yang wujud sejak tahun 1990-an.

Kewujudan perpustakaan ini masih kurang diketahui ramai, ekoran kurangnya publisiti serta keadaan bangunan yang kelihatan lama dan suram.

Azliza dan Yusof Jaafar kakitangan Perpustakaan Awam Pasir Mas.

Bangunan ini merupakan milik Majlis Daerah Pasir Mas dan disewa oleh pihak Perpustakaan Awam Pasir Mas.

Menurut penyelianya, Azliza Kamaruzaman, perpustakaan ini beroperasi dari hari Sabtu hingga Rabu dan ditutup setiap Khamis dan Jumaat.

“Hanya dua orang petugas menguruskan operasi harian perpustakaan, seorang penyelia dan seorang pembantu,” katanya.

Walaupun jumlah kakitangan terhad, pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk menarik minat pengunjung, terutamanya pelajar dari sekolah berhampiran.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk pertandingan bercerita, mewarna, kuiz, celik minda, serta teka silang kata. Perpustakaan ini juga menyediakan kemudahan pinjaman dan pembacaan buku, serta akses Internet tanpa had.

Pengunjung Perpustakaan Awam Pasir Mas, Siti Zulaikha Pelajar SMU (A) Pasir Mas.

Salah seorang pengunjung tetap, Siti Zulaikha Mohd Zain, 16, berkata perpustakaan ini menawarkan suasana yang tenang dan sesuai untuk menyiapkan tugasan sekolah.

“Saya suka datang ke sini kerana suasananya senyap, Internet pun laju. Banyak buku ilmiah yang boleh dirujuk,” ujarnya.

Perpustakaan Awam Pasir Mas turut menyokong pelaksanaan program jabatan kerajaan melalui perkhidmatan temu pelanggan, sebagai satu usaha memperkenalkan perkhidmatan agensi kepada masyarakat setempat.

Perpustakaan ini, walaupun kelihatan tersorok dan sederhana terus memainkan peranannya sebagai pusat pembelajaran dan pengembangan ilmu untuk komuniti sekitar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda