
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Muhammad Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti Madani Felda Air Tawar 4: Sembang Santai bersama masyarakat Orang Asli Felcra Sungai Layau telah berlangsung dengan meriah semalam di Tepian Layau, anjuran Komuniti Madani Felda Air Tawar 4 dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Kota Tinggi.

Fauziah Misri ketika pelepasan peserta Konvoi ke Perkampungan Orang Asli Felcra Sungai Layau.
Program bermula dengan pelepasan konvoi bermotor dari Felda Air Tawar 4 ke perkampungan Orang Asli Felcra Sungai Layau yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri.
Ketua Komuniti MADANI Felda Air Tawar 4 Mejar (B) Razali Md Lani, berkata program ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan, mengeratkan silaturahim serta mendekatkan masyarakat Felda dengan komuniti Orang Asli menerusi penghayatan budaya dan warisan.
“Pelaksanaan program ini menjadi jambatan perhubungan antara Komuniti MADANI Felda Air Tawar 4 dan masyarakat Kampung Felcra Sungai Layau dalam usaha menanam nilai kebersamaan dan kesatuan.
“Ia juga sebagai medium untuk menyebarluaskan dasar serta inisiatif Kerajaan MADANI kepada komuniti Orang Asli,” jelasnya.

Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi bersama peserta konvoi menari tarian masyarakat Orang Asli.
Antara pengisian utama program termasuk sesi perkongsian sejarah dan asal-usul masyarakat Orang Asli oleh Tok Batin Ramli Nekmat, demonstrasi tarian tradisional, pendedahan budaya serta penyediaan masakan tradisional masyarakat setempat.
Program ini secara tidak langsung memperkukuh hubungan antara kaum dan menyemarakkan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan komuniti tempatan.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi Mohd Nasharuddin Mohd Shah dan Pegawai JAKOA Daerah Kota Tinggi Fadil Kosnan.
-ZS-