
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Masjid Al-Falah Sungai Tengas, Selama menjadi lokasi kepada Program Jiwa@Komuniti Madani Kemasyarakatan yang berlangsung semalam dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan serta kehadiran penduduk setempat.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Bandar Baharu ini bertujuan menyatupadukan komuniti kampung di samping menyampaikan maklumat penting serta menjalankan aktiviti bermanfaat secara langsung bersama penduduk.

Orang ramai yang hadir dari kalangan ahli-ahli Komuniti MADANI dan masyarakat setempat teruja dengan penganjuran program yang banyak memberi info.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Selama Mohd Noor Zainudin, program ini memberi ruang kepada masyarakat untuk mendapat akses kepada pelbagai perkhidmatan dan informasi dalam suasana santai dan mesra komuniti.
“Matlamat utama adalah untuk menyatupadukan masyarakat serta menyampaikan maklumat dan aktiviti yang membawa manfaat kepada penduduk kampung,” katanya.
Imam Masjid Al-Falah Ustaz Shamsul Anuar Mahmudin, 61, turut menyambut baik penganjuran program di masjid.
“Saya amat gembira dan mengalu-alukan mana-mana agensi untuk menjadikan masjid sebagai lokasi program komuniti. Ia memberi pendedahan dan ilmu kepada anak kariah serta menghidupkan peranan masjid dalam pembangunan masyarakat,” jelasnya.
Antara pengisian utama yang menarik perhatian pengunjung ialah pameran jabatan-jabatan kerajaan, jualan Rahmah oleh KPDN, saringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) dan kaunter khidmat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Demontrasi memadam kebakaran oleh Bomba Serdang mendapat perhatian orang ramai.
Menurut seorang pengunjung, Yahaya Ahmad, 42, program ini bukan sahaja menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan, tetapi turut memberi ilmu berkaitan keselamatan.
“Saya belajar cara menggunakan alat pemadam api dan ini sangat berguna untuk situasi kecemasan. Program sebegini wajar diadakan lebih kerap,” katanya.
Secara keseluruhan, inisiatif ini selaras dengan aspirasi Komuniti MADANI yang menitikberatkan perpaduan, kesejahteraan sosial, serta penyampaian maklumat terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.
-ZS-