Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Warga Emas Dinasihat Waspada Jenayah Siber

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Basharuddin Md Yasin (Pahang)

KUANTAN, 25 JUN (MalaysiaAktif) – Warga emas di daerah ini dinasihatkan agar berwaspada dengan jenayah siber supaya tidak menjadi mangsa penipuan scammer.

Salah seorang komuniti setempat yang hadir berkongsikan pengalaman ketika dihubungi scammer.

Menurut Pegawai Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Kontijen Pahang ASP Hasrul Izawadi Badaruddin, walaupun statistik menunjukkan golongan muda lebih ramai menjadi mangsa scammer (penipu), namun kerugian yang dicatat oleh warga emas lebih besar dan tinggi berbanding golongan muda ini.

“Ada pelbagai cara yang digunakan scammer untuk memperdayakan mangsa terutama daalam kalangan warga emas atas pelbagai faktor, antaranya ialah phone scam, love scam, dan jenayah e-dagang,” katanya ketika menyampaikan ceramah Jenayah Siber sempena program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai, di sini semalam.

Katanya lagi, warga emas diminta untuk tidak melayan sebarang panggilan yang mencurigakan terutama daripada pemanggil yang tidak dikenali.

“Apa yang perlu kita buat adalah jangan layan panggilan melalui nombor yang tidak dikenali atau jika sudah menjawab panggilan boleh sahaja terus matikan talian jika ada yang menyamar sebagai pegawai polis, pegawai mahkamah dan sebagainya,” katanya.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pahang Rohani Chik turut hadir bersama mendengar taklimat ‘Jenayah Siber’ yang disampaikan ASP Hasrul.

Beliau turut menambah, sifat tamak yang ada dalam diri turut menjadi faktor warga emas mudah terpedaya dan menjadi mangsa.

“Selain itu, jika ada warga emas yang dalam kesunyian akan mudah jatuh cinta dengan perangkap love scam.

“Misalnya ada satu kes, mangsa (wanita) berkenalan dengan seorang jejaka dari negara luar selama setahun dan berjanji untuk berkahwin, tetapi mangsa diminta untuk membayar sejumlah wang kerana scammer ingin memberikan hadiah, namun setelah menunggu lama hadiah yang ditunggu-tunggu tidak tiba dan akhirnya mangsa sebenarnya telah diperdaya,” ujarnya.

Hasrul menasihatkan agar golongan warga emas ini khususnya untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa penipuan di atas talian.

-ZS-

Tinggalkan komen anda