
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Operator air negeri Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd, menegaskan komitmennya untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung dakwaan tekanan air rendah yang dikaitkan dengan kebakaran sebuah gudang di Kluang pada April lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Ranhill SAJ memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan laporan lengkap bagi membantu siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.
“Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan bahawa tekanan air yang rendah dipercayai menjadi antara faktor yang menyukarkan operasi pemadaman kebakaran oleh pasukan bomba dalam kejadian yang berlaku pada 4 April, sehingga menyebabkan syarikat terlibat menanggung kerugian berjuta ringgit,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Ranhill SAJ menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam memastikan sistem bekalan air terawat berada dalam keadaan optimum, termasuk memastikan semua kemudahan yang diperlukan untuk operasi kecemasan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kami memberi jaminan bahawa semua keperluan penting, termasuk sokongan untuk operasi kecemasan, sentiasa diselenggara dengan baik demi memastikan kecekapan sistem bekalan air,” menurut kenyataan itu.
Ranhill SAJ turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Sebarang spekulasi tidak berasas hanya akan menjejaskan integriti siasatan dan mengelirukan orang awam,” tegas syarikat itu.
-ZS-