
Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani (Timur Laut)
BATU LANCHANG, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Dalam usaha menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan komuniti, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang bersama Komuniti MADANI Jalan Perak menganjurkan Pesta Durian di perkarangan pejabat ADUN Batu Lanchang, di sini semalam.

Pertandingan makan durian terpantas mendapat sambutan daripada penduduk.
Majlis ini bertujuan khusus untuk memberikan apresiasi kepada pasukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan DUN Batu Lanchang serta petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas komitmen berterusan mereka dalam memelihara kesejahteraan masyarakat setempat.
ADUN Batu Lanchang Ong Ah Teong, berkata majlis ini bukan sekadar acara makan durian semata-mata, tetapi satu bentuk penghargaan yang tulus kepada mereka yang selama ini memainkan peranan penting di balik tabir.
“Pesta durian ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang tenaga dan masa dalam memastikan Batu Lanchang kekal terurus, bersih dan terus maju,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan sesi taklimat berkaitan isu-isu semasa seperti penstrukturan semula tarif elektrik, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta maklumat penting lain yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Taklimat inisiatif kerajaan dan khidmat nasihat perancangan kewangan peribadi oleh pihak KWSP.
Wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hadir untuk memberi penerangan serta khidmat nasihat mengenai inisiatif kerajaan dan turut membuka peluang kepada masyarakat untuk memahami perancangan kewangan jangka panjang mereka.
Pelbagai aktiviti santai turut diadakan termasuk pertandingan mewarna untuk dewasa dan pertandingan makan durian terpantas yang menambah kemeriahan suasana serta menarik kehadiran penduduk setempat.
Inisiatif ini bukan sahaja menjadi medan komuniti berkumpul dan beramah mesra, malah menyemai rasa penghargaan terhadap petugas akar umbi yang sentiasa berdedikasi memastikan kawasan Batu Lanchang terus berkembang dengan harmoni.
-ZS-