
Laporan/foto: Mohd Yusof Abd Samad (Segamat)
SEGAMAT, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Segamat 1447 Hijrah yang berlangsung malam tadi di Masjid Bandar Putra diraikan dalam suasana sederhana namun tetap meriah dengan kehadiran kira-kira 200 orang penduduk termasuk golongan remaja dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Bacaan yassin dan tahlil sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Segamat di Masjid Bandar Putra, Segamat, malam tadi.
Pegawai Daerah Segamat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Mohd Ezzuddin Sanusi, berkata sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform penting untuk membina kekuatan dalaman dan memperbaharui semangat umat Islam ke arah kemajuan yang lebih holistik.
“Nilai-nilai murni seperti gotong-royong, saling memahami dan bertimbang rasa harus terus diamalkan dalam kalangan masyarakat bagi memupuk perpaduan ummah yang sejati, selaras dengan ajaran agama Islam,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Segamat 1447H/2025M di Masjid Bandar Putra.
Mohd Ezzuddin turut menekankan kepentingan memanfaatkan masjid sebagai pusat aktiviti komuniti selain fungsi utamanya sebagai rumah ibadah.
“Masjid tidak seharusnya dihadkan kepada solat semata-mata, sebaliknya wajar dijadikan pusat pembelajaran seperti kelas fardu ain dan tuisyen pendidikan, khususnya untuk menarik penyertaan golongan remaja dalam mengimarahkan institusi ini,” katanya.

Antara dif-dif kehormat dan orang ramai yang hadir memeriahkan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Segamat 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Bandar Putra.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Maal Hijrah 1447H kepada tokoh-tokoh terpilih yang berjasa dalam pembangunan ummah.
Acara dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil sebagai pembuka majlis bagi memohon keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Abd. Manap, Kadi Daerah Segamat Azhar Samadun, Pentadbir Tanah Daerah Segamat Mohamad Yazid Baharuddin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Mohd Helmi Sha’ri.
-FN-