
Laporan/foto: Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Acara sukan lasak D’Palong Offroad Challenge 2025 berjaya menghimpunkan lebih 60 buah kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara dalam satu program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Mustapha bergambar bersama urusetia program.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mustapha Nagoor ketika majlis perasmian, di sini semalam, menyifatkan penganjuran program sebegini bukan sahaja memberi impak besar kepada pembangunan sukan lasak tempatan, malah turut merangsang ekonomi komuniti setempat.
“Acara seperti ini memberi kesan langsung kepada pengusaha gerai makanan, minuman dan inap desa.
“Ia secara tidak langsung memperkenalkan Jempol sebagai destinasi sukan permotoran dan pelancongan di Negeri Sembilan,” katanya.
Pengunjung turut diberi peluang merasai sendiri pengalaman menaiki kenderaan pacuan empat roda (4×4) melalui trek khas yang disediakan, menjadikan program ini sebagai tarikan keluarga dan pencinta sukan ekstrem.
Pengarah program yang juga Pengerusi Kelab Pacuan Empat Roda Raja Bersion Muhd Amin Abdul Hamid, berkata inisiatif membenarkan pengunjung dibawa menaiki 4×4 dan mencubu laluan adalah satu pendekatan baharu yang ingin dikembangkan.

Antara aksi peserta
“Selalunya hanya ahli kelab dan keluarga yang dapat merasai pengalaman sebegini. Kali ini kami buka peluang kepada semua pengunjung agar mereka turut sama merasai keseronokan dan cabaran sebenar sukan 4×4,” katanya.
D’Palong Offroad Challenge 2025 dilihat bukan sekadar perhimpunan kenderaan pacuan empat roda, malah menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti, mempromosi keunikan Felda Palong serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Jempol serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
-FN-