
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Detik penuh bersejarah tercipta di UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi apabila Majlis Pecah Tanah pembinaan masjid kampus yang telah lama dinanti akhirnya direalisasikan dalam suasana penuh bermakna, pada Khamis lepas.

Dr. Shahrin Sahib dalam ucapannya menyatakan masjid ini bakal menjadi nadi kerohanian dan kecemerlangan intelektual kampus
Majlis disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, disertai Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, sebagai simbol keprihatinan institusi diraja terhadap pembangunan holistik pendidikan.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, menyatakan bahawa masjid tersebut bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga akan berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu, kebajikan, dan pembangunan sahsiah mahasiswa.
“Masjid ini bakal menjadi nadi kerohanian dan kecemerlangan intelektual kampus, selaras dengan prinsip maqasid syariah dan aspirasi pembangunan negara,” ujarnya penuh harapan.
Kata beliau, buat masa ini seramai 774 mahasiswa terpaksa menggunakan ruang legar kolej kediaman lelaki serta kawasan landskap sekitar asrama sebagai ruang solat sementara.

Sebahagian orang ramai yang hadir di Majlis Pecah Tanah Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi
Projek ini dilihat sebagai lambang kerjasama erat antara UiTM dan masyarakat setempat, memperkukuh peranan universiti sebagai institusi ilmu yang juga berfungsi sebagai pemangkin nilai-nilai murni dan semangat komuniti madani.
Masjid baharu itu dijangka menjadi mercu tanda baharu Bukit Besi, bukan sahaja dari segi seni bina tetapi juga sebagai pusat kegiatan keilmuan, kerohanian, dan pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif.
-AA-