
Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Penduduk Felda Seberang Tayor kini hidup dalam kebimbangan apabila beberapa ekor beruang dipercayai tersesat dari hutan berhampiran dilaporkan sering berkeliaran di kawasan perumahan mereka sejak beberapa minggu lalu.
Haiwan liar tersebut dipercayai turun dari hutan berdekatan untuk mencari makanan, khususnya buah-buahan seperti durian dan nangka yang sedang mengeluarkan hasil ketika ini.

Johari Arif berkata haiwan itu dipercayai tersesat dan keluar mencari makanan di kawasan tersebut.
Kejadian itu turut menyebabkan beberapa penduduk mengalami kerugian apabila tanaman mereka rosak akibat diterjah beruang tersebut.
Menurut seorang penduduk Johari Arif, 45, beruang berkenaan bukan sahaja memanjat pokok tetapi juga menjatuhkan buah-buahan yang masih belum masak, menyebabkan hasil tanaman mereka musnah.
“Lebih merisaukan, beruang itu dilihat semakin berani menghampiri kawasan rumah, seterusnya menimbulkan ancaman keselamatan, khususnya kepada kanak-kanak,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Mohd Syafiq merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak (Perhilitan) kerana telah memasang beberapa perangkap di kawasan tersebut.
Sementara itu pihak pengurusan Felda Seberang Tayor yang diketuai oleh Mohd Syafiq Hilmi Ahmad Zahid telah mengambil langkah segera dengan membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman.
Susulan laporan tersebut, pihak Perhilitan Kemaman telah memasang beberapa perangkap bagi menangkap haiwan terbabit.
Penduduk turut diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan mengelakkan anak-anak daripada bermain di kawasan terbuka buat sementara waktu.
-FN-