
Laporan/foto: Mohd Haffis Seria (Sarawak)
MATU, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Sebagai tanda keprihatinan dan semangat keharmonian dalam komuniti, satu Lawatan Kebajikan Ziarah Kasih Komuniti MADANI Daerah Matu telah diadalan bagi menyantuni dua individu penting dalam komuniti mereka.
Lawatan pertama telah dilakukan ke kediaman waris Allahyarham Basmi Mat, 73, mantan Pengerusi Komuniti MADANI Kuala Matu, yang telah meninggal dunia baru-baru ini.
Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan banyak berjasa dalam memimpin pelbagai aktiviti serta pembangunan Komuniti MADANI Kuala Matu.
Rombongan lawatan turut menyampaikan sumbangan dan kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau selama ini.

Faridah Shaminan (hujung kanan) bersama Komuniti MADANI Daerah Matu menziarahi Selamah Jmi.
Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke rumah Pengerusi Komuniti Kampung Tian Selamah Jmi yang baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Sibu setelah menerima rawatan kesihatan.
Dalam kunjungan tersebut, wakil komuniti memberikan kata-kata sokongan kepada Selamah yang disifatkan sebagai seorang pemimpin komuniti yang cekal dan komited dalam memimpin sesebuah persatuan.
Lawatan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kasih sayang dalam masyarakat, sejajar dengan prinsip MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan, ihsan dan hormat.
“Program Ziarah Kasih seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara ahli komuniti, tetapi juga menunjukkan bahawa kita sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap keadaan sesama kita.
Insya-Allah, program seperti ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk memupuk semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti,” kata Naib Ketua Komuniti MADANI Kampung Tian Faridah Saminan, 41, ketika ditemui pagi tadi.

Faridah Shaminan (hujung kanan) bersama Komuniti MADANI Daerah Matu menziarahi Selamah Jmi.
Pegawai Penerangan Daerah Matu Nurhayati Abdul Halim, pula berharap usaha seperti ini dapat diteruskan secara konsisten bagi memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan Komuniti MADANI.
“Inisiatif sebegini mampu membina komuniti yang lebih peka, penyayang dan bersatu padu dan Pejabat Penerangan Daerah Matu menyokong penuh program seumpama ini,” katanya.
Lawatan Kebajikan Ziarah Kasih ini bukan sahaja mencerminkan nilai-nilai murni, malah menjadi bukti bahawa semangat gotong-royong dan keprihatinan masih kukuh dalam kalangan masyarakat.
Diharapkan program seperti ini akan terus menjadi wadah penyatuan komuniti demi membina sebuah masyarakat yang harmoni, inklusif dan sejahtera.
-RJ-