
Laporan/Foto : Iswandi Kassim/Fakri Zafran (Sarawak)
ENGKILILI, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Umat Islam perlu melihat hijrah sebagai bukan sekadar perubahan fizikal, namun secara menyeluruh meliputi aspek pemikiran, cara hidup dan berkomunikasi serta penyebaran maklumat.
Penceramah dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Lubok Antu Ustaz Syed Zaimi Syed Kamaldin berkata hijrah sebenar adalah apabila seseorang individu mampu menukar keutamaan terhadap kepentingan diri kepada kepentingan jemaah.
“Komuniti yang kuat ialah komuniti yang bersatu, bukan sekadar ketika majlis tetapi dalam semangat membangunkan masyarakat.
“Seterusnya, penting juga amalan komunikasi berkesan dalam mengurus komuniti secara harmoni, menangani isu semasa dan menyebarkan maklumat sahih,” katanya.

Ustaz Syed Zaimi dari YADIM menyampaikan ceramah Maal Hijrah kepada para peserta di Masjid Darul Naim, Kampung Melayu Engkilili.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Hijrah Digital: Dari Analog ke Era Maklumat – Cabaran Umat Islam” sempena sambutan Maal Hijrah 1447H di Masjid Darul Naim, Kampung Melayu Engkilili, di sini kelmarin.
Ceramah berkenaan merupakan antara pengisian Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai oleh Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti MADANI kampung berkenaan.
Seramai 50 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin komuniti, ahli jawatankuasa masjid dan tetamu kehormat telah hadir.

Peserta menerima bahan penerbitan Jabatan Penerangan yang diedarkan sempena program, antaranya Risalah Rukun Negara.
Program tersebut turut melibatkan pengedaran bahan penerbitan berbentuk pendidikan sivik seperti Risalah Rukun Negara, Risalah Jangan Jadi Mangsa Scammer, dan Panduan Lafaz Penuh Ikrar Rukun Negara.
Turut hadir penghulu kampung, Ahmad@Suhaili Ahmad; Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang; Ketua Komuniti MADANI Herman Dollah Abdullah; dan Pengerusi Masjid Darul Naim Jamil Marzuki.
-RJ-