
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Hari Koperasi Sekolah Kolej Vokasional Kuala Kangsar (KVKK) Tahun 2025 berjaya memupuk dan menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan.

Shahrizan menyantuni para pelajar yang terlibat dalam aktiviti jualan keusahawanan
Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Koperasi, Organisasi dan Pengurusan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak Shahrizan Abdullah, koperasi memainkan peranan penting dalam institusi pendidikan untuk membantu anggota yang terdiri daripada pelajar itu sendiri.
“Kita faham ada dalam kalangan pelajar ini datang daripada golongan kurang berkemampuan, maka koperasi inilah tempat untuk membantu mereka melalui pulangan yang diterima daripada aktiviti koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis di KVKK, Padang Rengas, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengarah KVKK Juriah Ahmad berkata koperasi banyak memberi manfaat kepada anggotanya terutama dalam menyediakan modal bagi program atau aktiviti yang dilaksanakan.

Suasana sekitar Karnivel TVET dan Hari Koperasi Sekolah KVKK
“Pihak kolej sentiasa memanfaatkan segala urusniaga koperasi untuk anggota dan bagi memastikan pulangan itu dapat dinikmati, kita mempelbagaikan aktiviti perniagaan agar manfaatnya kembali kepada anggota koperasi ini,” ujarnya.
Dalam program itu, pelbagai pameran agensi kerajaan dan inovasi pelajar diperlihat kepada pengunjung serta jualan makanan dan minuman termasuk Jualan Rahmah.
Pelajar Nur Aleya Natasya Shahrul Nisham, 19, berkata karnival berkenaan membuka peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat, mengasah kemahiran berniaga dan memperkenalkan produk inovasi ciptaan pelajar TVET.
“Saya cukup gembira kerana inilah masanya kami dapat memperkenalkan jurusan-jurusan yang jarang sekali diketahui ramai seperti jurusan kosmetologi dan menerangkan antara produk yang dihasilkan pelajar TVET di kolej ini,” katanya.
-AA-