Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Larian Komuniti MADANI Perkukuh Hubungan Sosial Rakyat

By 12 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Emylia Lot/Hairie Izwan (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Suasana pagi di Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak bertukar menjadi pesta komuniti penuh warna-warni apabila lebih 500 penduduk setempat menyertai Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI di sini, kelmarin.

Nurul Syahida Abdul Rahim membawa semua ahli keluarganya sambil menolak kereta sorong untuk menyertai larian.

Acara utama, Larian Merentas Desa Komuniti MADANI menjadi simbol semangat kejiranan, perpaduan komuniti dan sokongan sosial merentas generasi demi kehidupan yang sihat.

Program dirasmikan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Negeri Terengganu Azan Ismail.

Beliau yang turut mewakili Majlis Keselamatan Negara ketika dalam ucapannya turut menegaskan program sedemikian bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh jaringan sosial rakyat.

Nurul Syahida Abdul Rahim, 37, mencuri perhatian apabila membawa seluruh ahli keluarganya termasuk anak kecil yang ditolak dalam kereta sorong bayi demi merasai sendiri semangat kebersamaan komuniti dalam larian.

“Saya mahu anak-anak membesar dengan nilai kekeluargaan dan semangat komuniti. Walaupun mencabar, ia tetap berbaloi demi kebersamaan,” katanya.

Mohd Jasmin Ismail bersemangat walaupun berkerusi roda akibat kemalangan dua bulan lalu, turut hadir memberikan sokongan padu kepada masyarakat

Lebih menyentuh hati, Mohd Jasmin Ismail, 52, yang kini berkerusi roda akibat kemalangan dua bulan lalu, turut hadir memberi sokongan kepada peserta membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk menyumbang semangat kepada masyarakat.

“Walau tak dapat berlari, saya tetap mahu bersama-sama merasai semangat kejiranan dan perpaduan ini. Kita perlu saling sokong-menyokong,” katanya penuh semangat.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma oleh Farmasi Fajr, pameran kesedaran wanita dan keluarga oleh Skuad WAJA Jabatan Pembangunan Wanita serta demonstrasi cara menangani ular dalam situasi kecemasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Program JIWA@Komuniti MADANI membuktikan pendekatan turun padang yang menyeluruh mampu menyatukan rakyat, mengukuhkan ikatan sosial serta menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

-AA-

Tinggalkan komen anda