
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Maal Hijrah wajar dihayati umat Islam dengan memberi penekanan terhadap pengukuhan nilai keislaman, pembinaan masyarakat progresif dan perpaduan ummah tanpa mengabaikan keperluan meneroka ilmu moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati penghijrahan Rasulullah SAW, malah menjadi titik tolak kepada pembentukan masyarakat Islam yang berakhlak, berilmu dan sejahtera.
Semangat hijrah harus disemai dalam diri setiap individu sebagai pemacu perubahan positif dalam pemikiran, sikap dan tindakan untuk membentuk masyarakat yang progresif.

Abdul Ghani menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat Daerah Nabawan, kelmarin.
“Menyedari tuntutan zaman dan keperluan transformasi hidup yang lebih baik, tema tahun ini sangat relevan dalam membina masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam sejajar dengan kemajuan teknologi dan era globalisasi.
“Umat Islam perlu memantapkan akidah dan ilmu berasaskan kefahaman agama yang kukuh tanpa mengabaikan prinsip syariah dalam penerokaan kemajuan moden,” katanya merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1447 Hijriah peringkat Daerah Nabawan yang berlangsung di Pusat Komuniti Islam, di sini pada Sabtu.
Abdul Ghani turut menekankan bahawa segala program sempena sambutan Maal Hijrah serta majlis hari kebesaran Islam perlu menjadi medan penyatuan ummah dan pemerkasaan nilai agama.
“Segala program yang telah disusun sempena sambutan Maal Hijrah serta majlis-majlis hari kebesaran Islam adalah bertujuan untuk menyemarakkan semangat hijrah dan menyeru kita semua agar memperkukuh nilai-nilai Islam.
Mudah-mudahan, ia mampu menyuntik semangat hijrah bukan sahaja dari segi tempat, tetapi yang lebih penting dari aspek pemikiran, sikap dan tindakan agar kita menjadi umat yang lebih baik, progresif dan berdaya saing,” ujarnya.

Bidah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Daerah Nabawan 2025 yang disampaikan Abdul Ghani.
Majlis turut meraikan Bidah Hasbollah, 63, dari Pensiangan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2025 Daerah Nabawan. Dalam ucapannya, beliau menyeru umat Islam agar terus aktif dalam program dakwah dan pembangunan institusi keagamaan.
“Dakwah bukan hanya tugas segelintir individu atau pihak kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh umat Islam. Penglibatan aktif masyarakat, khususnya di Daerah Nabawan, dalam program keagamaan amat penting untuk memperkukuh perpaduan dan kekuatan ummah,” ujarnya.
Bertemakan Membangun Ummah Madani, sambutan anjuran Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) Nabawan itu disemarakkan dengan pelbagai pengisian, termasuk ceramah agama, pertandingan nasyid, bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ceramah umum sempena Mahrajan Kesenian Islam.
-RJ-