
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 330 pekebun kecil hadir dalam Program Jelajah Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) anjuran Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Dataran Arena Pengkalan Hulu, semalam.

Para pegawai LGM memberi penerangan kepada peserta yang hadir.
Menurut Ketua Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM Shafizal Yusof, program jelajah ini adalah untuk mempromosikan program MSNR.
“Program Jelajah MSNR merupakan satu inisiatif baharu LGM bertujuan untuk memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran pekebun kecil getah mengenai pelaksanaan dan pematuhan MSNR serta khidmat nasihat pematuhan MSNR kepada pekebun kecil.
Tambahnya, agenda MSNR mampu mengubah landskap industri getah negara dengan memberi tumpuan kepada penghasilan getah yang berkualiti tinggi memenuhi piawaian getah antarabangsa.

Para peserta mendengar taklimat dan penerangan daripada pegawai-pegawai LGM.
“Di samping itu, pekebun kecil getah berpeluang menikmati pelbagai manfaat terutamanya daripada aspek peningkatan sumber pendapatan,” ujarnya.
Melalui program ini, pekebun kecil getah telah diberikan khidmat nasihat melalui perkongsian informasi dan meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan serta pematuhan MSNR.
Selain itu, LGM turut mendidik pekebun kecil getah mengenai Pengesyoran Klon Getah serta Amalan Pertanian Baik (GAP) dan meningkatkan kesedaran kewajipan memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).
-RI