
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SUNGAI BULOH, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan sedang meneliti semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) agar lebih fleksibel dan mengambil kira bebanan rakyat.
Ujarnya, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat terdahulu dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan keterbukaan dalam mendengar cadangan pengecualian terhadap beberapa barangan keperluan asas.
“Saya sendiri menyuarakan cadangan supaya buah oren dan epal dikecualikan daripada SST kerana ia makanan rakyat bawahan.
“Alhamdulillah, ia telah diterima dan diumumkan termasuk juga pengecualian terhadap kurma,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan UMNO Bahagian Selayang di Kelab Rahman Putra, di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan turut menaikkan ambang (threshold) nilai transaksi perniagaan yang sebelum ini ditetapkan pada RM500,000.
Namun katanya, langkah itu menyebabkan pengurangan hasil kerajaan sebanyak RM1.8 bilion setahun.
“Walaupun pendapatan SST berkurang, saya yakin dalam pembentangan belanjawan Oktober nanti, beberapa keluhan rakyat akan diberi pertimbangan semula oleh kerajaan,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang menjalankan kajian keberkesanan pelaksanaan SST bagi memastikan dasar tersebut kekal adil dan tidak membebankan rakyat.
-RI





