
Laporan/foto: Memi Yusoff/Norshazila Ahmad
SHAH ALAM, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak 120 reruai jualan dan pameran daripada pelbagai sektor memeriahkan Karnival Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) (KUP 2025) yang diadakan selama tiga hari bermula 11 hingga semalam, di Ruang Legar Kompleks PKNS, Shah Alam, di sini.

Antara reruai usahawan PROTUNe terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam KUP 2025.
Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusoff berkata KUP 2025 menggabungkan usahawan daripada empat program keusahawanan bermodul anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU).
“Empat program utama berkenaan ialah Program Tunas Niaga (PROTUNe), Program Usahawan Siswazah (Grow), Program Usahawan Siswazah Lanjutan (Grow Plus) dan Program Eksklusif BizClub.
“Usahawan yang menyertai karnival ini bukan sahaja diberi peluang berniaga, malah diwajibkan menyertai kursus persediaan penyertaan ekspo yang merangkumi latihan komunikasi, pamasaran, pengurusan masa dan kemahiran sosial,” katanya ketika ditemui di KUP 2025, di sini kelmarin.
Antara aktiviti menarik sepanjang karnival termasuk demonstrasi usahawan, pertandingan, promosi jualan happy hour, aktiviti pentas serta pameran jualan hartanah oleh PKNS Homes.

Aktiviti pentas yang melibatkan demonstrasi produk oleh usahawan.
Tambahnya lagi, sebagai kemudahan tambahan, perkhidmatan van ulang-alik (shuttle van) perantara percuma disediakan untuk memudahkan pengunjung datang dan pergi dari lokasi karnival.
“Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan shuttle van di beberapa pick-up point (tempat mengambil) sekitar Shah Alam seperti Kedai Kopi, perhentian bas Ibu Pejabat PKNS Shah Alam, UTC Shah Alam dan banyak lagi,” katanya.
Penganjuran KUP 2025 yang memasuki tahun ketiga itu adalah sebahagian daripada lebih 40 program keusahawanan anjuran PKNS bagi memperkasa belia dalam bidang perniagaan.
-RI






