
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Hairie Izwan (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Suasana ceria dan penuh warna-warni menyelubungi Balai Komuniti Kampung Tuan Mandak apabila lebih 20 kanak-kanak tadika dari komuniti setempat menyertai pertandingan kolaj kreatif menggunakan daun moringa sempena Program JIWA@Komuniti Madani yang diadakan, di sini kelmarin.
Bertemakan ‘Kembali Kepada Alam’, pertandingan ini bukan sahaja mencungkil kreativiti si cilik, malah menjadi wadah menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar sejak usia prasekolah.

Ahmad Ikram mengakui pengalaman ini berbeza daripada aktiviti seni biasa yang pernah disertainya.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Tuan Mandak Ahmad Aiman Hussin, pertandingan tersebut merupakan inisiatif masyarakat setempat bagi meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kepentingan memelihara alam sekitar.
“Kami memilih daun moringa kerana ia mudah didapati di kampung dan kaya dengan khasiat. Anak-anak bukan sahaja belajar mengenali tumbuhan, malah turut diajar menghargai sumber semula jadi serta menggunakan imaginasi mereka dalam seni,” katanya semasa merasmikan program berkenaan.
Kanak-kanak yang mengambil bahagian kelihatan tekun menyusun daun-daun hijau kecil menjadi karya seni kreatif berbentuk rumah, pokok, pelangi dan pelbagai lagi bentuk menarik yang menggabungkan elemen alam semula jadi.
Nur Shafira Alya Mohamad Shahril, 6, berkata pengalaman tersebut sangat bermakna kerana ia kali pertama dia bermain dengan daun sambil belajar.
“Cikgu kata daun ini boleh makan dengan telur. Mama pun ada tanam dekat rumah. Saya buat gambar rumah dan pokok,” katanya sambil tersenyum bangga.
Ahmad Ikram Ahmad, 10, pula mengakui pengalaman itu berbeza daripada aktiviti seni biasa yang pernah disertainya.

Ahmad Aiman ( baju hitam) berkata program tersebut merupakan inisiatif komuniti dalam mendidik generasi muda agar lebih peka terhadap kepentingan menjaga dan menghargai alam semula jadi.
“Selalunya guna pensel warna sahaja, tapi kali ini guna daun, ranting dan biji pokok. Rasa seronok sangat sebab boleh guna bahan dari alam semula jadi,” ujarnya penuh teruja.
Selain pertandingan, turut diadakan demonstrasi khas untuk golongan ibu seperti cara membuat teh moringa, sabun herba dan masker semula jadi daripada tumbuhan berkenaan.
Pihak penganjur juga difahamkan merancang untuk memperluas program berkenaan kepada pelajar sekolah rendah dan golongan belia kampung dalam siri akan datang.
Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada semua peserta sebagai tanda kenangan, satu pengalaman kecil yang mungkin meninggalkan impak besar dalam kehidupan mereka.
-RI





