Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MMM Bolehkan Isu Pengamal Media Diurus Secara Mampan, Bebas – Fahmi

By 15 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi

PUTRAJAYA, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Pembentukan Majlis Media Malaysia (MMM) akan membolehkan isu dihadapi pengamal media diurus dengan lebih terangkum, mampan dan bebas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata MMM juga diharap akan menggerakkan pelbagai pihak untuk memainkan peranan membantu memastikan media yang bukan sahaja berdikari, beretika dan bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan watikah pelantikan sebagai Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia kepada Ketua Pengarang ASTRO Awani Ashwad Ismail.

“…dan yang paling penting mampan dan bersedia untuk menghadapi pelbagai perubahan yang sedang melanda dunia penyampaian maklumat.

“Di pihak kerajaan, kita akan membantu memudah cara proses ke arah Mesyuarat Agung Tahunan pertama MMM, termasuk dari aspek kewangan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi menyampaikan watikah pelantikan kepada enam daripada 12 anggota Lembaga Pengasas MMM dalam acara yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi (KK) dalam kenyataan memaklumkan kesemua lantikan dibuat berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan dalam bidang kewartawanan, media, akademik dan komunikasi.

“Pelantikan ini adalah susulan daripada penggubalan Akta MMM 2025 (Akta 868) yang mula berkuat kuasa 14 Jun lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bersama antara 12 Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia

“MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia sendiri (self-regulatory body) yang memperkasakan industri media di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Katanya, antara fungsi MMM seperti yang diperuntukkan di bawah perenggan 5 (1) Akta 868 termasuklah menetapkan standard dan mengadakan tatalaku bagi pengamal media dan mereka bebas mengikut standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.

“Antara lain untuk menggalakkan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab yang tertinggi, kebebasan media dan hak pengamal media selain untuk mengawal selia etika dan tatalaku profesional pengamal media,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan penggubalan akta berkenaan merupakan komitmen Kerajaan MADANI melalui KK bagi menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat umum mendapat maklumat sahih, berintegriti dan adil.

Antara 12 lembaga pengasas MMM ialah Ketua Pengarang ASTRO Awani Ashwad Ismail dan Pengarah Gerakan Media Merdeka Mohd Radzi Abdul Razak.

-FN

Tinggalkan komen anda