
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Fairul Nizam Roslan Along
DUYONG, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak 3,634 buah rumah di 21 buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bakal menerima manfaat Inisiatif Kampung Digital.
Setiap premis akan diberikan kod QR bagi mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur sekali gus membawa manfaat kepada mereka dalam aspek pengurusan, penghantaran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan alamat rumah.

Sesi taklimat Kampung Digital.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pelaksanaan inisiatif di bawah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) itu diharap berjalan lancar dan memanfaatkan seluruh penduduk kawasan DUN tersebut dan rakyat Melaka secara amnya.

Sesi taklimat Kampung Digital.
“Salah satu komponen penting dalam program ini adalah pelaksanaan penampalan pelekat alamat atau Stiker Kampung Digital yang bertujuan memudahkan pengesanan serta pengurusan maklumat penduduk secara sistematik di peringkat komuniti.
“Pelekat ini mengandungi kod QR dan nombor rujukan alamat standard, selaras dengan usaha membangunkan pangkalan data digital berpusat demi mempercepatkan penyampaian bantuan, pengurusan kecemasan, keselamatan dan perkhidmatan kerajaan secara lebih cekap dan efisien,” ujarnya.
-RI





