
Laporan/foto: Muhaimin Musa/Azrul Hafiz
KUALA LUMPUR, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Selaras dengan aspirasi pendigitalan negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) semalam telah melancarkan Portal Digital JKKN yang merangkumi dua komponen utama, Portal Pemetaan Budaya dan Portal Rumah Seni JKKN.

Suasana sekitar majlis berlangsung.
Majlis pelancaran di The Glass House, Bangsar disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff bersama Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris.
Turut hadir penggiat seni, wakil media serta pemain industri kreatif tempatan.
Menurut Mohd Yusri, portal berkenaan merupakan langkah strategik dalam mempercepat transformasi digital sektor budaya negara.
“Pelancaran Portal Digital JKKN hari ini merupakan satu inisiatif strategik yang bukan sahaja berfungsi sebagai pangkalan data seni dan budaya, malah menjadi platform interaktif yang mampu merapatkan jurang antara masyarakat dengan warisan kita,” katanya.

Suasana sekitar majlis berlangsung.
Portal Pemetaan Budaya yang dibangunkan sejak 2015 mengandungi lebih 500 artikel, ribuan gambar dokumentasi dan hampir 200 video persembahan seni yang boleh diakses secara percuma.
Manakala Portal Rumah Seni JKKN yang diwujudkan pada 2022 menyediakan direktori produk, profil penggiat seni, serta ruang promosi dan perkhidmatan berkaitan industri seni budaya.
Setakat ini, kedua-dua portal telah mencatat jumlah pelayaran yang menggalakkan, menandakan peningkatan minat masyarakat terhadap akses seni budaya secara digital.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi JKKN di http://www.facebook.com/mysenibudaya.
-RI





