
Laporan/foto: Zaid Awang (Gombak)/Hakeemullah Ismail
SHAH ALAM, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin untuk komuniti Orang Asli menyasarkan pembinaan tujuh unit rumah baharu menggunakan teknologi Industrialized Building System (IBS).
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti Selangor Papparaidu Veraman program kendalian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) adalah satu pendekatan moden yang menjimatkan kos serta mempercepatkan pembinaan dan mesra alam.

(Kanan) Papparaidu ketika tinjauan di Tapak IBS Bukit Lintang, Melaka.
“Seiring kelulusan program ini tahun lalu, satu lawatan kerja ke tapak IBS di Bukit Lintang, Melaka telah diadakan hari ini bagi meninjau proses pembinaan yang juga menggunakan teknologi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lawatan itu katanya disertai wakil UPEN, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).
“Penggunaan teknologi IBS diyakini dapat mempercepatkan penyediaan kediaman selesa untuk komuniti sasaran, selaras dengan agenda pembangunan inklusif dan dasar pembasmian kemiskinan negeri.
“Kerajaan negeri akan terus pastikan komuniti Orang Asli tidak terpinggir dan menerima akses kepada perumahan yang berkualiti serta berdaya tahan,” ujarnya.
-RI





