Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

SMK Padang Tembak Juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku

By 19 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norfaizah Adnan/Yang Azman

KUALA LUMPUR, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak muncul juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kemenangan itu melayakkan sekolah berkenaan mewakili wilayah berkenaan ke peringkat kebangsaan selain membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, sijil berserta plak.

Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Sabarudin Yeop Hamza berkata  pertandingan tersebut bukan sekadar sebuah pertandingan.

“Ia adalah sebuah platform komunikasi bersemuka yang mengaplikasikan seni lakon penceritaan dan juga menyemai kefahaman serta penghayatan sejarah perjuangan, pengorbanan dan sumbangan tokoh kemerdekaan dan pejuang negara mencapai kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini,” katanya selepas program berkenaan di Dewan Utama Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, di sini kelmarin.

Sementara itu, pengarah kampus berkenaan Dr. Masitah Mohammad Yusof berharap pertandingan itu dapat menyemai budaya pengisahan seni dalam menyampai mesej kenegaraan serta mempertingkatkan pemahaman mengenai dasar kerajaan kepada rakyat.

“Ini amat penting bagi memastikan generasi muda kita sentiasa cakna dan memahami apa arah tuju pembangunan negara,” ujarnya.

Pertandingan melibatkan penyertaan lima lagi sekolah iaitu SMK St. Gabriel, SMK Puteri Ampang, SMK Perempuan (P) Jalan Ipoh, SMK Agama Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah.

SM Sains Alam Shah selaku naib johan membawa pulang wang tunai RM700, sijil dan plak manakala di kedudukan ketiga, SMK Agama Kuala Lumpur menerima wang tunai RM500, sijil serta plak.

SMK St. Gabriel, SMK Puteri Ampang dan SMK (P) Jalan Ipoh meraih saguhati.

-RI

Tinggalkan komen anda